PRU15: Kerusi Jasin kekal milik BN?

BN mempertaruhkan bekas ADUN Merlimau selama dua penggal, Roslan sebagai calonnya di kerusi Jasin. Gambar kecil: Roslan
BN mempertaruhkan bekas ADUN Merlimau selama dua penggal, Roslan sebagai calonnya di kerusi Jasin. Gambar kecil: Roslan
A
A
A
JASIN - Sejak ia mula dipertandingkan pada 1974, kerusi Parlimen Jasin kekal menjadi deposit tetap kepada BN setiap kali pilihan raya umum diadakan termasuk pada edisi ke-14 ketika hegemoni BN di peringkat Persekutuan tamat.

Dengan pertambahan 22,544 pengundi baharu yang menjadikan jumlah pengundi di kerusi itu seramai 95,976 pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding 73,432 pengundi pada PRU14, ia meletakkan padang yang sama rata kepada empat parti yang akan merebut Parlimen Jasin kali ini.

BN mempertaruhkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau selama dua penggal, Datuk Roslan Ahmad sebagai calonnya di kerusi berkenaan, yang akan ditentang Pesuruhjaya PAS Melaka, Zulkifli Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN), Datuk Harun Mohamed (Pakatan Harapan) dan Datuk Mohd Daud Nasir (Pejuang).

Persoalannya mampukan BN mengekalkan deposit tetapnya itu di sebalik desas-desus yang mendakwa jentera parti berkenaan menolak calonnya pada kali ini?

Mengakui sembilan daripada 38 Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN ditutup selepas Roslan dicalonkan, Ketua UMNO Jasin, Datuk Hasan Abd Rahman bagaimanapun berkata, perkara tersebut berjaya diselesaikan selepas jentera parti diingatkan tentang ikrar perjuangan sebagai ahli UMNO.

"Ikrar kita dahulu walau siapa pun calon (Parlimen Jasin), kita kena menangkan. Ikrar ini maka kita akan laksanakan. Jentera parti perlu berjiwa besar dalam perkara ini," katanya ketika ditemui di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) Bemban di sini.

Menurut Hassan, BN perlu mendapatkan sokongan kira-kira 41,000 pengundi di Jasin termasuk dalam kalangan ‘pengundi putih BN’ untuk mengekalkan kerusi itu pada PRU15 dan meraih tambahan 8,000 undi dengan menambat hati pengundi atas pagar dan Undi18.



Pensyarah Kanan Pengajian Komunikasi dan Media, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Melaka, Shafezah Abdul Wahab berkata, penutupan PDM BN yang kemudiannya kembali beroperasi itu tidak memberi kesan besar kepada BN kerana ia merupakan kawasan tradisi bagi gabungan itu.

Beliau berkata, pertembungan empat penjuru antara empat calon Melayu di Parlimen itu akan memecahkan undi masyarakat itu, justeru kempen yang berfokus dan strategik akan memberi kelebihan kepada calon-calon yang bertanding.

"Sentimen pengundi khususnya Undi18 juga perlu diambil kira memandangkan golongan tersebut lebih cenderung memilih calon berbanding parti ketika ini," katanya.
Artikel Berkaitan:


Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, kecemerlangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada tahun lepas wajar digunakan gabungan itu untuk meyakinkan pengundi memberikan sokongan mereka di Parlimen Jasin pada PRU15.

"Di peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri) pengundi telah memberi sokongan kepada BN, jadi BN boleh eksploitasi kemenangan masa PRN itu untuk PRU15 ini, cuma UMNO dan BN mesti pandai uruskan perpaduan dan kesatuan mereka,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!