PN tawar kerajaan prihatin, bersih, stabil

Tawaran Perikatan Nasional bariskan 12 tunjang pada PRU15

A
A
A

Muhyiddin (tengah) melancarkan Tawaran Pilihan Raya Umum ke-15 PN pada Ahad.
Muhyiddin (tengah) melancarkan Tawaran Pilihan Raya Umum ke-15 PN pada Ahad.

Membina ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat serta membersihkan politik dan tadbir urus merupakan antara 12 tunjang yang ditawarkan Perikatan Nasional (PN) sekiranya mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ atau PN BEST, parti gabungan itu turut menyediakan 30 pendekatan dan 234 tawaran.

Jelas Muhyiddin, tunjang lain yang digariskan adalah mensejahterakan bumiputera, Orang Asli dan semua kaum, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah, melestarikan alam sekitar dan merancakkan pelancongan.

Turut ditawarkan adalah memperkasa belia dan mensejahterakan keluarga muda, mengoptimumkan potensi wanita dan membina warga emas yang sejahtera.

Selain itu, memperkasakan orang kelainan upaya (OKU), memperkasakan generasi felda dan mentransformasi, petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil.

Muhyiddin ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tawaran PRU15 PN pada Ahad.
Muhyiddin ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tawaran PRU15 PN pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah tawaran-tawaran utama PN. Tawaran lengkap mengandungi semua inisiatif yang akan dilaksanakan terkandung dalam dokumen Tawaran Perikatan Nasional PN BEST,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Tawaran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) PN di salah sebuah hotel di sini pada Ahad.

Turut hadir Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan Pengerusi Parti Gerakan Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau.

Tambah calon Parlimen Pagoh itu lagi, kesemua kandungan itu disusun Jawatankuasa Tawaran PN yang dipengerusikan Mohd Radzi.

Sentimen rakyat

Muhyiddin (kiri) bersama pemimpin PN lain menunjukkan buku Tawaran PRU15 PN.
Muhyiddin (kiri) bersama pemimpin PN lain menunjukkan buku Tawaran PRU15 PN.



Jelasnya, tawaran itu digubal dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat berkaitan perkara-perkara yang dianggap penting oleh mereka.

“Di peringkat awal penggubalan tawaran ini, saya telah memberi mandat kepada Jawatankuasa Tawaran supaya terlebih dahulu meneliti apakah keperluankeperluan utama rakyat yang mesti diberikan perhatian oleh kerajaan yang bakal dibentuk selepas PRU nanti.

“Melalui kajian-kajian yang saya sendiri teliti, keperluan utama rakyat adalah tidak lain dan tidak bukan menyentuh tentang isu ‘bread and butter’ iaitu isu-isu ekonomi rakyat seperti kos sara hidup, pekerjaan, pendapatan, masalah infl asi, kenaikan harga barang dan lain-lain yang berkaitan,” katanya.

Menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu lagi, 12 tunjang itu merupakan antara perkara pokok yang mesti diberikan perhatian utama oleh PN apabila mendapat mandat rakyat dalam PRU15.

“Saya ingin tegaskan bahawa Tawaran Perikatan Nasional ini adalah tawaran yang boleh dilaksanakan.

“Dengan pengalaman yang ada sebagai kerajaan, kami yakin bahawa kesemua tawaran ini dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan dengan sokongan semua penjawat awam, agensiagensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta,” katanya.

Bukti komitmen

Muhyiddin (tiga dari kiri) bersama pemimpin PN lain mengangkat plakad yang menjadi tema gabungan itu ketika Majlis Pelancaran Tawaran PRU15 PN.
Muhyiddin (tiga dari kiri) bersama pemimpin PN lain mengangkat plakad yang menjadi tema gabungan itu ketika Majlis Pelancaran Tawaran PRU15 PN.



Menurut Muhyiddin, sebagai bukti komitmen gabungan itu terhadap pelaksanaan tawaran-tawaran ini, sebuah Jawatankuasa Khas yang dianggotai ahli pakar akan dibentuk bagi memantau segala pelaksanaan inisiatif dan program yang terkandung di dalam Tawaran PN BEST.

“Kami juga memberi jaminan bahawa semua inisiatif Bajet 2023 termasuk bantuan kepada rakyat dan penjawat awam akan dilaksanakan oleh PN,” ujarnya.

Sementara itu, dalam majlis sama, Muhyiddin turut berjanji akan mengisytiharkan cuti umum pada 20 dan 21 November ini sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas PRU15.

Jelasnya, tawaran tambahan itu bagi membolehkan pengundi luar pulang ke tempat bermastautin tanpa perlu memohon cuti pada hari Ahad atau Isnin.

Beliau menjelaskan, cuti umum berkenaan tertakluk kepada cuti hujung minggu yang berlainan mengikut negeri masing-masing.

“Saya tahu keinginan rakyat untuk mengundi amat tinggi. Ini termasuk pengundi luar yang terpaksa mengundi di kampung halaman atau di tempat lain daripada tempat tinggal mereka.

“Jadi saya nak umumkan, jika PN menang dalam pilihan raya pada hari Sabtu, 19 November nanti, kita akan isytihar cuti umum pada hari Ahad (20 November) bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, dan hari Isnin (21 November) bagi negeri-negeri lain,” jelasnya.

12 TUNJANG TAWARAN PN BEST:

No Image Caption



* TUNJANG 1: Membina ekonomi masa hadapan

*TUNJANG 2: Meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat

*TUNJANG 3: Membersihkan politik dan tadbir urus

* TUNJANG 4: Mensejahterakan bumiputera, orang asli dan semua kaum

* TUNJANG 5: Merapatkan jurang pembangunan antara wilayah

* TUNJANG 6: Melestarikan alam sekitar dan merancakkan pelancongan

* TUNJANG 7: Memperkasa belia dan mensejahterakan keluarga muda

* TUNJANG 8: Mengoptimumkan potensi wanita

* TUNJANG 9: Membina warga emas yang sejahtera

* TUNJANG 10: Memperkasa orang kelainan upaya (OKU)

* TUNJANG 11: Memperkasa generasi Felda

* TUNJANG 12: Mentransformasikan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil

No Image Caption

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!