[VIDEO] Vida didakwa buat video 'Muah Muah Raya' bersifat sumbang
SEPANG - Usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas satu pertuduhan membuat hantaran komunikasi bersifat sumbang iaitu satu video muzik 'Muah Muah Raya' menjelang Aidilfitri, April lalu.
Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman, 51, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, Vida yang hadir ke mahkamah dengan memakai jubah berwarna merah jambu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video bersifat sumbang menggunakan perkhidmatan aplikasi YouTube atas nama DSV Entertainment.
Kesalahan didakwa dilakukan pada 29 April dan dilihat di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cyberjaya di sini pada 5 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Fazril Sani Mohamed Fadzil mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Vida yang diwakili peguam, Datuk Adnan Seman merayu agar jumlah itu dikurangkan kepada RM2,000 kerana ini merupakan kali pertama anak guamnya dituduh di mahkamah.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Ahmad Fuad membenarkan Vida diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Disember depan untuk serahan dokumen.
Sebelum ini, konsep video muzik 'Muah Muah Raya' yang diketengahkan usahawan itu dikritik warga maya selepas ia dianggap seolah-olah tidak menghormati Aidilfitri apabila ia kelihatan seperti menampilkan unsur 'drag queen'.
Susulan itu pada 12 Mei, Vida meluangkan masa hampir tiga jam di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di sini untuk merakamkan percakapan dan memberi keterangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!