Ajal selepas tamat tugas PRU15

Jenazah Abu Talib akan dibawa pulang ke kampungnya di Sungai Petani untuk dikebumikan.
Jenazah Abu Talib akan dibawa pulang ke kampungnya di Sungai Petani untuk dikebumikan.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang anggota polis berpangkat lans koperal maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda milik Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel) tengah malam Selasa.

Abu Talib Sarif, 33, yang bertugas di Bahagian Siasatan Khas D9 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang maut di tempat kejadian akibat parah di beberapa bahagian badan.

Dalam satu kenyataan di laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang, kejadian berlaku di Kilometer 5.3 Jambatan Pulau Pinang pada jam 12.48 tengah malam.

Menurut kenyataan itu lagi, mangsa baru selesai tugas pemantau Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Seberang Perai Tengah dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Perumahan Polis Marin Batu Uban.

"Ketika dalam perjalanan pulang itu, mangsa yang sudah berkahwin telah melanggar belakang kenderaan 4x4 Propel di kawasan penutup lorong di atas Jambatan Pulau Pinang.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat. Difahamkan, jenazah akan dikebumikan selepas solat Zohor di kampung halamannya di Sungai Petani, Kedah," menurut kenyataan berkenaan.

Allahyarham Abu baru ditugaskan di Bahagian Siasatan Khas D9 di IPK Pulau Pinang pada Oktober lalu.

Sebelum ini mangsa bertugas di Cawangan Trafik IPK Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!