Pengangkutan tram mampu direalisasikan di Melaka: Ka Siong

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

MELAKA - Rancangan untuk memajukan pengangkutan awam di Melaka termasuk pembinaan sistem tram dapat direalisasikan jika wujud kestabilan dan keserasian di antara kerajaan Persekutuan dengan negeri.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan berkata, keserasian itu hanya akan wujud jika calon muka baharu yang bertanding atas tiket BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diberi mandat oleh pengundi di parlimen Tangga Batu, Alor Gajah dan Kota Melaka.

"Ini (memajukan pengangkutan awam) satu cadangan daripada kerajaan Melaka dan sebagai caretaker kerajaan berkaitan pengangkutan, hasrat kerajaan Melaka ini kita akan diteruskan kerana ia sesuatu yang telah dibincangkan.

"Kita perlukan mandat yang lebih besar untuk mendapatkan kepercayaan pengundi agar perkara ini dapat direncanakan dengan lebih baik," katanya kepada pemberita selepas bertemu pengundi di sekitar pasar malam Lereh dan Tokong Hock Seng Keng di Tanjung Kling di sini malam tadi.

Hadir sama calon BN bagi Parlimen Tangga Batu, Datuk Lim Bang Hong, Sharil Sufian Hamdan (Alor Gajah) dan Kon Qi Yao (Kota Melaka).

Ka Siong berkata, program transformasi perkhidmatan bas henti-henti juga akan direncanakan semula selain memperhalusi projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) demi kebaikan rakyat Melaka.

"Sebab itulah penting untuk rakyat guna undi dan beri sokongan kepada parti yang sama kerana perancangan agenda pembangunan yang baik adalah berlandaskan keserasian antara kerajaan pusat dan negeri memandangkan ini menjamin kesinambungan dasar dan hala tuju bersama," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!