Mbappe boleh bersama Perancis ke Qatar
SKUAD Perancis boleh menarik nafas lega apabila pemain sensasi, Kylian Mbappe tidak mengalami kecederaan serius sekali gus berpeluang beraksi di Piala Dunia Qatar pertengahan bulan ini.
Perkara itu disahkan pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Christophe Galtier yang memberitahu kecederaan yang dialami pemain itu adalah disebabkan kepenatan kerana mengharungi banyak perlawanan dalam tempoh singkat.
Penyerang berusia 23 tahun itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-85 ketika mencatat kemenangan 2-1 ke atas Lorient pada aksi Ligue 1 di Stade du Moustoir pada Ahad.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan dalam kem Perancis kerana sudah kehilangan N’Golo Kante dan Paul Pogba dalam usaha mempertahankan gelaran Piala Dunia dimenangi pada 2018.
“Kita mendapat berita mengenai kecederaan Karim (Benzema), tetapi buat Kylian (Mbappe) ia tidak serius. Saya tidak mahu mengambil risiko dan memilih untuk mengeluarkannya.
“Tidak perlu bimbang kerana (kecederaan) ini mungkin disebabkan kepenatan perlu mengharungi banyak perlawanan dalam tempoh yang singkat.
“Dia juga kelihatan sangat penat ketika menentang Juventus (Liga Juara-Juara) pada Rabu lalu. Jadi, saya faham kebimbangan orang ramai kerana selepas ini adalah Piala Dunia,” ujar Galtier.
Dalam aksi itu, PSG terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Neymar pada minit kesembilan sebelum Terem Moffi menyamakan kedudukan buat Lorient pada babak kedua.
Danilo Pereira muncul wira PSG apabila menyumbat gol kemenangan pada minit ke-81 membolehkan Les Parisiens mengungguli carta Ligue 1 dengan kelebihan lima mata ke atas RC Lens di tangga kedua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!