Rara sedia jalani RBTag
BENTONG - [DIKEMAS KINI] Calon Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, bersedia untuk mengambil ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) bagi menambahkan keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan pengundi negeri itu.
Menurutnya, langkah tersebut dialu-alukan kerana ia dapat memberikan peluang kepada pengundi memilih calon yang bersih dan bebas rasuah.
"Insya-ALLAH, saya bersedia kerana tidak pernah ada isu dan masalah berkaitan isu ini dan mengalu-alukan ujian sebegini terhadap calon kali ini," katanya kepada Sinar Harian.
Ujar beliau yang juga mesra dengan panggilan Rara memberitahu, rasuah adalah musuh negara dan merosakkan sesebuah negara dan amalan itu perlu ditentang habis-habisan..
"Jika kita rasa dadah menjijikkan rosakkan negara, rasuah pun rosakkan negara, jadi jauhi rasuah ia perlu dibanteras sebaik-sebaiknya.
"Saya juga berjanji tidak akan membenarkan diri terjebak dengan gejala rasuah kerana ia akan rosakkan diri, keluarga dan institusi masyarakat," katanya.
Ujar beliau, rasuah bermula dengan diri sendiri dan jika ada depan mata, setiap individu perlu elakkan daripada terperangkap.
"Kita perlu memastikan negara ini bebas daripada amalan rasuah kerana terbukti amalan ini merosakkan ramai pihak," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!