Pemandu kereta sewa tagih janji lapan tahun lalu
TANAH MERAH - Pemandu kereta sewa di sini menagih janji yang dibuat oleh seorang calon wakil rakyat semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.
Pengerusi Persatuan Pemandu Kereta Sewa Jajahan Tanah Merah, Ismail Hassan berkata, pada musim berkempen itu, calon berkenaan ada berjanji untuk memberi peruntukan bagi membaik pulih bangunan stesen yang terlalu uzur.
"Sekarang sudah PRU15, namun sehingga kini tiada khabar berita atau bertanya khabar. Stesen ini terlalu uzur dan bumbungnya banyak yang bocor.
"Penumpang tidak selesa malah kami sendiri kadang-kadang terpaksa melalui keadaan yang sukar bila hujan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurut beliau, stesen yang berusia 40 tahun itu masih digunakan oleh 20 daripada 60 pemandu kereta sewa yang masih aktif.
Katanya, rata-rata pemandu berusia 40 hingga 70 tahun.
Tambah Ismail, permintaan terhadap kereta sewa di sini masih lagi relevan dan sentiasa ada penumpang.
"Persatuan Pemandu Kereta Sewa Jajahan Tanah Merah adalah yang paling tersohor di Kelantan kerana mempunyai lebih 200 pemandu.
"Namun peredaran zaman menyebabkan jumlahnya semakin berkurang sekali gus tiada anak muda yang sanggup menjadi pelapis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!