Beri peluang kepada bakat muda: Nurul Izzah
PERMATANG PAUH - Otai reformasi yang sebelum ini pernah memegang jawatan penting dalam parti perlu memberikan peluang kepada pelapis baharu dan pemimpin muda untuk mewarisi perjuangan keadilan sekali gus menguatkan parti.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, bakat dan semangat anak muda seperti penyandang kerusi Parlimen Batu, P Prabakaran amat diperlukan selain beliau dilihat mampu untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU15 kali ini.
Beliau turut senada dengan Prabakaran yang mahu bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua menarik diri dari bertanding dalam memastikan Pakatan Harapan (PH) dapat mengekalkan kerusi terbabit.
Menurutnya, Prabakaran adalah calon termuda yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dan mengambil keputusan untuk bersama PKR malah setia hingga saat ini.
“Kita mahu orang muda seperti beliau untuk mewarisi suara dalam Dewan Rakyat. Maka pada saya, semangat beliau sehaluan dengan kenyataan yang diberikan.
“Beliau seorang calon yang cergas dan sudah melalui pelbagai cabaran malah kita harapkan Prabakaran dapat berjuang serta mewarisi agenda keadilan dengan baik,” katanya pada sidang akhbar di Yayasan Aman, Penanti di sini, pada Selasa.
Nurul Izzah berkata, PKR sudah pasti perlu menyediakan bakat-bakat baharu yang terdiri daripada orang muda dan mempunyai semangat untuk terus berjuang bersama parti.
“Kita nampak ramai calon-calon muda yang hebat mahu mewakili suara rakyat Batu seperti Siti Kassim dan lain-lain.
“Saya tetap menghormati semua calon yang bertanding namun mempunyai harapan menggunung untuk melihat pewaris PKR memenangi kerusi itu,” katanya.
Terdahulu, Prabakaran mendakwa tindakan calon bebas, Tian Chua yang bertanding atas tiket Bebas dalam pertandingan 10 penjuru itu hanya akan menambah kekeliruan ekoran undi terpecah.
Kerusi Parlimen Batu menyaksikan pertembungan 10 penjuru membabitkan calon penyandang, Prabakaran, pempengaruh media sosial yang juga ahli perniagaan Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin (Bebas), peguam Siti Kasim (Bebas) serta calon Pejuang, Wan Azliana Wan Adnan.
Beberapa nama lain yang turut bertanding termasuk calon BN, Datuk A Kohilan Pillay, Azhar Yahya (Perikatan Nasional), P Naganathan (Warisan), Too Cheng Huat (Bebas) dan Zulkifli Abd Fatah (Parti Rakyat Malaysia).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!