Jurutera umum tanding calon Bebas PRK Sandakan

Chia Siew Yung mengumumkan akan bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK Parlimen Sandakan ketika sidang media hari ini. - Foto Bernama
Chia Siew Yung mengumumkan akan bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK Parlimen Sandakan ketika sidang media hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SANDAKAN - Seorang jurutera, Chia Siew Yung, 46, mengumumkan akan bertanding pada PRK Parlimen Sandakan sebagai calon Bebas.

Beliau yang juga ahli Persatuan Kebajikan Masyarakat Bebilang Kaum Sandakan Sabah (Perkesas) membuat pengumuman itu pada sidang media di sini hari ini.

Siew Yung berkata, dia membuat keputusan bertanding pada PRK itu selepas mendapat persetujuan dan sokongan dari Perkesas.

"Saya akan bertanding pada PRK Sandakan ini kerana mahu menyuarakan suara rakyat Sandakan secara langsung ke Parlimen.

"Ini akan saya lakukan jika terpilih kerana sebagai calon Bebas tidak sama dengan ada parti perlu mengikut polisi parti," katanya.

Siew Yung yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak merupakan anak pekebun kelapa sawit dan buah-buahan.

Anak jati daerah ini pernah bekerja sebagai jurutera operasi di syarikat korporat kelapa sawit sejak 1997 hingga April lepas.

PRK Parlimen Sandakan diadakan berikutan kematian Ahli Parlimen Sandakan yang juga Pengerusi DAP Sabah mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Sandakan pada 11 Mei ini, penamaan calon pada 27 April dan mengundi awal pada 7 Mei.

Terdapat 40,131 pemilih layak mengundi mengikut Daftar Pemilih Induk Tahun 2018 yang dikemas kini sehingga 28 Mac lalu.

Ia merangkumi 39,856 pengundi biasa, 270 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir luar negara.

Pada PRU14, mendiang Tien Fatt mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 19,094 undi selepas menewaskan calon BN, Datuk Lim Ming Hoo yang mendapat 8,996 undi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!