#SatuJari Bebas Rasuah tingkat kesedaran keluar mengundi

Nik Justin
Nik Justin
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah agresif mengajak orang ramai terutama anak muda keluar mengundi terus dimantapkan pasukan Rasuah Busters menerusi kempen #SatuJari Bebas Rasuah.

Ketua Belia, Sosial Media dan Penjenamaan Rasuah Busters, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, #SatuJari Bebas Rasuah adalah sebuah kempen harapan oleh rakyat untuk rakyat bagi melihat lebih ramai masyarakat umum mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurutnya, kempen tersebut adalah satu gerakan pemerkasaan kuasa rakyat melalui undi pilihan raya bagi memilih pemimpin yang bersih, amanah, jujur serta bijak.

Beliau berkata, usaha gerakan massa itu dilancarkan bagi memberi tumpuan kepada membina kesedaran kebersamaan oleh rakyat terutamanya golongan muda iaitu Gen Z dan Gen Y.

"Kempen penting #SatuJari Bebas Rasuah ini bertujuan membangkitkan semangat dan kesedaran tentang hak mutlak rakyat terutama anak muda Gen Z dan Gen Y supaya mereka bangkit serta keluar mengundi.

"Hampir 50 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia yang layak mengundi merupakan mereka daripada golongan Gen Z dan Gen Y yang akan menentukan hala tuju Malaysia serta menstabilkan dunia politik negara," katanya kepada kru Rasuah Busters pada Selasa.

Mengulas lanjut, Nik Justin berkata, sikap ambil lewa dan tidak keluar mengundi akan memberi impak yang sangat besar kepada proses pembentukan negara selain usaha memacu ekonomi Malaysia.

Sebagai contoh katanya, kewujudan golongan yang mengamalkan sikap ambil lewa dan tidak peduli tentang kepentingan keluar mengundi seperti Parti Aku Malas Undi (PAMU) harus disingkirkan daripada perspektif masyarakat terutamanya anak muda.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sekiranya isu seumpama itu tidak ditangani sebaiknya dalam kalangan anak muda, ia akan memberi kesan besar terhadap statistik jumlah rakyat keluar mengundi.

Jelasnya, Gen Z yang berusia 18 tahun hingga 29 tahun mempunyai kelompok besar melibatkan 6,007,978 orang yang layak mengundi, sementara Gen Y yang berusia 30 tahun hingga 39 tahun berjumlah 4,681,348 orang.

"Ia satu jumlah yang besar daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang layak mengundi iaitu 21,173,638 orang.

"Untuk itu, sangat penting untuk pulihkan semangat dan kecil hati rakyat negara terhadap hak mereka yang seperti telah dirompak oleh percaturan politik tidak bertanggungjawab selepas PRU14 sehingga sekarang," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pasukan Rasuah Busters menyasarkan 80 peratus yang akan keluar mengundi pada PRU15 sekiranya usaha agresif dapat digerakkan bagi menyedarkan seluruh lapisan masyarakat.

Katanya, kempen #SatuJari Bebas Rasuah telah bermula pada 18 Oktober lalu di setiap platform Rasuah Busters selain mendapat sokongan penuh daripada pelbagai media massa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakan gabungan Rasuah Busters.

Tambahnya lagi, segala bahan-bahan kempen boleh dimuat naik oleh sesiapa sahaja dan masyarakat umum digalakkan membuat sebaran serta hebahan mengikut citarasa mereka, sesuai dengan objektif dan misi kempen #SatuJari Bebas Rasuah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!