Zahid mahu 'banjirkan' bumi Bagan Datuk dengan bendera BN
BAGAN DATUK - Kemeriahan bendera tidak boleh dijadikan penanda aras tanda sokongan kerana kerja pemasangannya dilakukan oleh pekerja upahan, kata penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, selepas empat hari berkempen didapati bendera parti khususnya BN masih lagi kurang 'meriah' dan tidak semua tempat dipasang bahan-bahan kempen.
Pengerusi BN itu berkata, ia kerana bendera itu ditegakkan dan dipacak oleh pekerja-pekerja upahan.
"Pagi pakai baju BN, petang pakai (baju) Pakatan Harapan (PH), malam pakai (baju) Perikatan Nasional (PN). Orang yang sama.
"Jadi jangan jadikan penanda aras bendera itu sebagai tanda sokongan kerana itu dibuat oleh pekerja upahan," katanya.
Beliau berkata, akan membanjirkan Bagan Datuk dengan kibaran bendera BN sebagai tanda bahawa parti itu mendapat dukungan yang kuat dari pengundi kawasan itu.
"Tunggu kita akan banjirkan bumi Bagan Datuk dengan kibaran bendera BN, billboard, poster serta lain bahan kempen," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, orang Bagan Datuk terutama pengundi mahukan anak tempatan yang tahu citarasa dan mengetahui apakah yang diperlukan dari segi pembangunan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!