Razie pahat sejarah buat penampilan ke-300
PEMAIN sensasi, Muhammad Razie Abdul Rahim memahat rekod tersendiri apabila membuat penampilan ke-300 bersama skuad hoki negara di Ipoh, Perak pada Isnin.
Lakaran sejarah penampilan pemain berjersi 17 itu dibuat pada aksi terakhir round robin Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2022 ketika membantu skuad negara menumpaskan Jepun 4-2 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah.
Malah lebih manis, pakar pukulan sudut penalti itu turut menghasilkan dua gol bagi membantu Malaysian Tigers mara ke final menentang Korea Selatan pada Khamis.
“Alhamdulillah caps ke-300. Saya anggap ia sebagai sumber inspirasi. Syukur dengan kemenangan ini, kita dapat tiga mata berharga bagi mencapai sasaran mara ke final,” katanya.
Selain dua jaringan Razie, turut mencatat nama selaku penjaring ialah Nik Aiman Nik Rozemi dan Syafiq Sumantri, manakala Jepun memperoleh jaringan menerusi Kaito Tanaka dan Shota Yamada.
Mengulas aksi final, Razie menyifatkan peluang buat kedua-dua pasukan adalah seimbang dan apa yang penting para pemain perlu membuat persiapan rapi.
“Para pemain perlu perbaiki kelemahan dan pada masa sama kita cuba cari kelemahan pasukan lawan,” katanya.
Pemain berusia 35 tahun itu menjadi penjaring terbanyak PSAS setakat ini setelah meledak lima gol dan berpeluang menokok jaringan pada aksi final nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!