Amaran hujan berterusan di empat negeri
SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada melibatkan empat negeri bermula Isnin sehingga 11 November.
MetMalaysia memaklumkan negeri-negeri yang terlibat ialah Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada masa sama, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir lebih kerap pada sebelah petang hingga malam yang dijangka berlaku di negeri-negeri di pantai barat Semenanjung dan Sarawak.
Katanya, berdasarkan analisis model MET Malaysia Weather Research and Forecasting Model, European Centre for Medium-Range Weather Forecasts dan Global Forecast System, penumpuan angin dijangka berlaku di pantai timur Semenanjung dan barat Sarawak.
“Keadaan ini berpotensi menghasilkan hujan berterusan yang boleh membawa hujan lebat dan angin kencang di pantai timur Semenanjung pada sehingga 11 November ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!