Bersih kesan aktiviti kempen langgar etika pilihan raya
SHAH ALAM - Pemantauan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) mendapati terdapat parti politik dan calon terlibat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) melakukan aktiviti dianggap sebagai kesalahan dalam pilihan raya.
Jawatankuasa Bersih dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, antara kesalahan tersebut adalah pemberian minyak motosikal percuma, subsidi pulang mengundi dan penganjuran program perayaan atau karnival.
Menurutnya, aktiviti dijalankan itu tidak menepati piawaian etika kempen pilihan raya yang adil seperti melanggar konvensyen amalan kerajaan sementara susulan pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, aktiviti yang diadakan itu melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 8, Seksyen 10, Seksyen 20 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Seksyen 8 akta itu memperuntukkan kesalahan berkaitan penjamuan manakala Seksyen 10 (penyogokan) dan Seksyen 20 (belanja tertentu yang melibatkan perbuatan yang menyalahi undang-undang)
Dalam isu penggunaan aset kerajaan dan pengaruh tidak wajar kerajaan ketika PRU, Bersih berkata, Malaysia masih tidak mempunyai undang-undang yang jelas berkenaan penggunaan aset kerajaan dan ia masih tidak dijadikan kesalahan pilihan raya.
Begitupun, gabungan itu berkata, amalan baik pilihan raya bersih dan adil seperti digariskan Artikel 3 dan 4 Inter-Parliamentary Union (IPU) serta Artikel 11 Deklarasi Bangkok menyatakan pemisahan antara kerajaan dan parti politik, penggunaan sumber dan jentera kerajaan semasa proses berkempen.
“...Bersih sekali lagi menekankan agar calon-calon dan parti-parti politik berkempen secara bersih dan adil, serta berdasarkan idea dan polisi yang mereka ingin tawarkan kepada rakyat untuk masa hadapan yang lebih baik,” ujar kenyataan itu lagi.
Kesalahan yang dikesan oleh Bersih itu melibatkan beberapa calon daripada hampir kesemua gabungan utama yang bersaing dalam PRU15.
SPR menetapkan tarikh berkempen bagi PRU15 bermula 5 November sehingga 18 November ini dengan tarikh mengundi pada 19 November 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!