VAR tak mampu selesai masalah mutu pengadilan
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) menyambut baik keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang berhasrat untuk menggunakan teknologi video bantuan pengadil (VAR) dalam kancah Liga Malaysia bermula musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam bagaimanapun berpendapat, penggunaan teknologi itu tidak akan menyelesaikan masalah mutu pengadilan sepenuhnya.
Sebaliknya beliau percaya, program pemerkasaan pengadil perlu kerap dilaksanakan untuk meningkatkan lagi kualiti pegawai perlawanan sedia ada ketika ini.
“Adakah VAR jalan penyelesaian isu pengadilan? Sudah tentu tidak kerana di Liga Perdana Inggeris juga ada isu membabitkan VAR dan saya percaya di Piala Dunia nanti juga akan ada.
Jadi selain pelaksanaan dan kajian VAR, program memperkasa pengadil dari segi keputusan di padang dan keputusan tidak berkaitan VAR perlu dilaksanakan. Ini kerana sistem itu bukan pemutus segala-galanya dalam sesuatu perlawanan dan hal itu juga harus ditingkatkan.
“Saya percaya FAM sedang melakukan tugas mereka dengan baik untuk memastikan pengadil akan lebih bagus dan ikut transformasi terkini,” katanya pada sidang media di Majlis Pelancaran Setem Edisi Khas Piala Malaysia 2022 di Kuala Lumpur pada Selasa.
Sebelum ini, FAM memberi bayangan teknologi VAR mungkin akan digunakan pada final Piala FA dan Piala Malaysia bermula musim depan.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi ketika mengesahkan perkara tersebut memberitahu, pihak kini dalam proses penelitian dan perbincangan bagi membawa teknologi untuk diguna pakai di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!