[VIDEO] Shah Alam dilanda banjir kilat
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Beberapa kawasan di sini dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat sejak kira-kira jam 3 petang pada Selasa.
Perkara tersebut dilaporkan oleh para pengguna Facebook memuat naik beberapa gambar dan video memaparkan limpahan air di atas jalan raya serta beberapa rumah terkesan akibat insiden berkenaan.
Antara kawasan yang terlibat dengan banjir kilat berkenaan termasuklah Seksyen 17, Seksyen 24, Seksyen 25, dan Padang Jawa, di sini.
Salah seorang pengguna Facebook, Mardiana Marmono, 40 memaklumkan kawasan rumah di Alam Impian, Seksyen 17 di sini mula dinaiki air setinggi 0.3 meter bermula jam 4.30 petang.
Ketika meredah air banjir untuk pulang ke rumahnya, dia menyaksikan beberapa buah kenderaan terpaksa berpatah balik akibat jalan yang dinaiki air.
"Masa saya balik, (paras air) tinggi juga. Ada kereta patah balik. Saya juga nampak motor tenggelam separuh rodanya.
"Tadi di kawasan Tinta Alam Impian ada jalan tidak boleh digunakan. Paras air di luar rumah cecah paras lutut. Tapi mereka (penduduk) kata (air) dah surut," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Dalam pada itu, salah seorang penduduk di Padang Jawa, di sini, Masripah Ibrahim, 56, memaklumkan terdapat limpahan air di kawasan kejiranannya pada petang Selasa.
Namun dia berkata, banjir mula surut dengan cepat disebabkan oleh longkang besar di depan rumahnya.
"Rumah jiran-jiran yang dinaiki air juga mulai surut kerana air dalam longkang mengalir deras, kalau tidak memang banjirlah.
"Kalau di kawasan sini setakat ini belum lagi (banjir)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!