BN mahu 'hidupkan' bandar Kota Bharu
Rosmadi berkata, Kota Bharu antara dua daripada pusat bandar di negara ini yang belum mendapat taraf bandar raya selain Perlis.
"Ini satu perkara yang agak tidak baik terutama Kota Bharu dilabel sebagai bandar raya Islam. Kalau taraf bandar raya pun kita belum dapat, kita perlu buat sesuatu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pertemuan dan sesi ramah mesra bersama peniaga di Kompleks Bazar Tok Guru pada Selasa.
Rosmadi memaklumkan Kota Bharu sering mendapat jolokan sebagai 'bandar mati' atau 'bandar koboi' kerana bandar itu senyap sunyi selepas pukul 10 malam.
"Tiada aktiviti ekonomi sampingan berlansung pada waktu malam menyebabkan pusat bandar tidak dikunjungi. Inilah antara faktor yang menyebabkan Kota Bharu seolah sebuah 'bandar mati'," katanya
Mengulas lanjut Rosmadi yang juga Naib Ketua UMNO Kota Bharu berkata, kegiatan ekonomi yang amat perlahan menjadikan Kota Bharu nampak macam terkebelakang.
Katanya kemudahan jalan raya juga perlu dinaik taraf kerana jalan sedia ada sudah tidak dapat menampung kapasiti kenderaan yang makin bertambah.
"Jika kita diberi mandat, langkah pertama yang akan kami buat ialah memberi 'pencahayaan' kepada bandar Kota Bharu disusuli dengan penambahbaikan infrastruktur," katanya.
Selain itu katanya Kota Bharu bukan hanya mempunyai pelbagai prospek yang boleh dibangunkan tetapi berada di lokasi strategik bersebelahan Thailand, mampu menarik kemasukan pelancong domestik dan asing.
Parlimen Kota Bharu menyaksikan persaingan sengit apabila enam parti politik bersaing merebut kerusi Parlimen itu termasuk Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!