16 daerah diramal mengalami banjir kilat
SHAH ALAM - Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran menyenaraikan 16 daerah yang dijangka berisiko mengalami banjir kilat.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, negeri yang terlibat adalah Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Sarawak.
“Berdasarkan maklumat ramalan hujan dari model Numerical Weather Prediction (NWP) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dan sistem Southeastern AsiaOceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS), terdapat risiko berlakunya banjir kilat di beberapa lokasi sekiranya hujan lebat atau ribut petir yang signifikan.
“Notis kesiapsiagaan ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut,” menurut kenyataan tersebut.
Kawasan yang terlibat adalah di daerah Kuala Muda (Kedah); Jelebu, Rembau dan Seremban (Negeri Sembilan); Gombak, Petaling, Kuala Selangor dan Sepang (Selangor) serta Alor Gajah dan Jasin (Melaka).
Selain itu, lokasi lain yang dijangka kemungkinan berlaku banjir kilat adalah di Batu Pahat, Muar, Segamat dan Tangkak (Johor); Kuala Lumpur dan Kuching (Sarawak).
Dalam pada itu jabatan tersebut turut mengingatkan orang ramai untuk mematuhi arahan pihak berkuasa serta agensi-agensi pengurusan bencana banjir.
Orang ramai boleh layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!