PRU15: Annuar, Noh turun padang berkempen untuk KJ
SUNGAI BULOH - Bahang berkempen Pilihan Raya ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Sungai Buloh semakin terasa apabila Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar pada Selasa turut turun padang berkempen dan memberi sokongan kepada calon BN, Khairy Jamaluddin.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin itu hadir pada Program Penyampaian Peranti Komuniti di Pusat Ekonomi Digital Taman Saujana Utama sebelum disertai oleh Khairy dalam satu program bertemu orang ramai di Central Mart, di sini.
Berucap selepas menyampaikan peranti komuniti kepada wakil-wakil komuniti setempat, Annuar berkata, beliau yakin kemenangan akan berpihak kepada Khairy kerana prestasi cemerlang yang direkodkan beliau dalam setiap porfolio yang dipegangnya, sebelum ini.
"Negara kita terutamanya penduduk di kawasan Parlimen Sungai Buloh khasnya memerlukan pemimpin yang berkualiti namun, jangan dilupa, personaliti seseorang calon itu.
"Calon kali ini (Khairy) sudah terbukti beberapa kali orang yang boleh buat kerja, berprestasi sebagai pemimpin di peringkat tempatan dan di peringkat dunia. Bagi portfolio apa sekalipun, dia boleh dikendalikan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, personaliti dan prestasi Khairy selain keberaniannya bertanding di kawasan ‘hitam’ itu membuktikan Menteri Kesihatan itu mampu menggalas amanah sebagai wakil rakyat di situ.
"Tidak banyak menteri terjun ke kawasan di mana kalah majoriti puluhan ribu. Tapi benih yang baik dicampak ke laut bakal menjadi pulau,” kata Annuar.
Bagaimanapun, Annuar dan Noh yang tidak dicalonkan semula untuk bertanding pada pilihan raya kali ini, tidak menghalang mereka daripada membantu jentera BN dan rakan yang bertanding sepanjang tempoh berkempen PRU15 ini.
Khairy bakal berdepan enam pencabar di Parlimen Sungai Buloh iaitu Datuk R Ramanan (Pakatan Harapan), Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional), Mohd Akmal Mohd Yusof (Gerakan Tanah Air) dan Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia), serta dua lagi calon Bebas, Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff dan Nurhaslinda Basri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!