Umur bukan penghalang Mohd Khalid jadi calon
JEMPOL - Mengamalkan cara dan gaya hidup sihat menjadi petua calon Pejuang Parlimen Jempol, Tan Sri Mohd Khalid Yunus kekal bertenaga walaupun sudah di usia emas.
Malah beliau yang berusia 79 tahun turut menjadikan aktiviti mendaki gunung sebagai hobi sekali gus membuatkannya sentiasa kekal aktif.
"Sejak kecil masa itu umur tujuh tahun, ikut arwah nenek menoreh getah, ikut sekali potong getah dan bersawah.
"Saya aktif bersukan main ragbi, bola sepak dan lain-lain jenis sukan ketika di alam persekolahan sebelum mula menceburi aktiviti mendaki gunung sejak berumur 58 tahun hingga sekarang," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Taman Tunku Puan Chik, Bahau di sini pada Selasa.
Beliau yang pernah menjadi Ahli Parlimen Jempol selama empat penggal dari tahun 1986 hingga 2004 berkata, umur hanyalah nombor yang diberi oleh ALLAH SWT.
Jelasnya, masih mampu untuk berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air terutamanya di kawasan Parlimen Jempol.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mohd Khalid menentang Datuk Shamshulkahar Mohd Deli dari Barisan Nasional (BN), Noraffendy Salleh (Perikatan Nasional) dan Norwani Ahmat (Pakatan Harapan).
Mohd Khalid pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, selain Timbalan Menteri Pelajaran, Timbalan Menteri Penerangan serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan.
Pada PRU14, kerusi Parlimen Jempol dimenangi calon BN, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif dengan majoriti 1,631 undi selepas memperoleh 26,819 undi menewaskan calon PKR Kamarulzaman Kamdias (25,188 undi) dan calon Pas, Mustaffa Daharun (5,267 undi).
Berhubung keputusan bertanding di Parlimen Jempol beliau berkata, sejak bersara hampir 20 tahun tidak nampak banyak perubahan terutama membabitkan orang muda.
"Jika diikutkan, saya tidak berminat untuk kembali semula ke dunia politik, tetapi disebabkan rasa kecewa dengan pelbagai kemelut melanda politik sehingga kerajaan Malaysia dikatakan lemah, saya ambil keputusan ini (bertanding).
"Sekiranya diberi kepercayaan untuk menjadi ahli Parlimen sekali lagi, manifesto dan perjuangan saya adalah untuk memberi fokus kepada anak muda selain mengambil kira golongan lain." katanya.
.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!