NFC tidak dapat jana pendapatan untuk bayar balik pinjaman

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa beliau tidak dapat membayar balik pinjaman berjumlah RM253.6 juta kerana kerajaan tidak menyediakan infrastruktur yang diperlukan untuk projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.

Mohamad Salleh berkata, memang benar kerajaan telah menyediakan pinjaman sebanyak RM253.6 juta kepada NFC, namun kerajaan gagal menyediakan infrastruktur termasuk rumah sembelih kualiti eksport (EQA) bagi membolehkan syarikat itu memulakan pengeluaran penuh dalam projek tersebut.

"Ini menyebabkan NFC tidak dapat menjana pendapatan daripada projek itu untuk membayar balik pinjaman kerajaan,” katanya.

Mohamad Salleh berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan saman kerajaan terhadap NFC untuk mendapatkan semula pinjaman RM253.6 juta dan faedah daripada syarikat itu berhubung projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas.

Mohamad Salleh, yang merupakan defendan kedua berkata, pinjaman RM253.6 juta yang disalurkan kepada NFC pada 2008 terikat dengan perjanjian pelaksanaan dan pajakan.

Mohamad Salleh berkata, NFC tidak dapat membayar ansuran pertama pada 2012 kerana akaun banknya dibekukan.

Mengikut perjanjian pinjaman itu, NFC sepatutnya membayar balik RM17 juta setiap tahun dari 2012 hingga 2028.

Saksi itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan Peguam Kanan Persekutuan, Asliza Ali mewakili kerajaan, bahawa NFC tidak pernah meminta sebarang lanjutan masa untuk pembayaran pinjaman tersebut.

Artikel Berkaitan:

Asliza: NFC tidak pernah membuat sebarang pembayaran selepas 2012.

Mohamad Salleh: Kami minta penangguhan, sebab itu kami tidak buat sebarang bayaran.

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Asliza bahawa syarikat itu tidak pernah meminta pembayaran itu dijadualkan semula.

Dalam saman itu, kerajaan menamakan NFC sebagai defendan pertama, manakala Mohamad Salleh yang merupakan suami bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, dan tiga anak mereka, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing sebagai defendan kedua hingga kelima.

Defendan lain adalah enam syarikat yang dikawal oleh keluarga Mohamad Salleh, iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Real Food Corporation Sdn Bhd, Meatworks Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn Bhd.

Kerajaan mendakwa satu perjanjian telah ditandatangani dengan NFC pada 6 Disember 2007 bagi pinjaman berjumlah RM250 juta, sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi Pusat Fidlot Nasional, selaras dengan dasar untuk membangun serta meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.

Pinjaman itu disalurkan kepada NFC dalam tiga peringkat, dan keluarga Mohamad Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Januari 2008 hingga 3 Januari 2011.

Perbicaraan di hadapan Hakim Anand Ponnudurai bersambung esok. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!