PRU15: PADU bawa revolusi pendidikan negara
JOHOR BAHRU - Pelan Amal dan Usaha (PADU) oleh Barisan Nasional (BN) disifatkan mampu membawa perubahan dalam revolusi pendidikan di negara ini bermula di peringkat awal, persekolahan dan universiti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, di peringkat awal, PADU menawarkan program asuhan dan pendidikan nasional percuma kepada semua kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah bagi membantu ibu bapa atau pasangan muda.
Calon BN kerusi Parlimen Kota Tinggi itu berkata, perubahan radikal akan berlaku di peringkat sekolah, apabila BN melalui PADU menawarkan sistem persekolahan tanpa buku teks.
"Saya akui, untuk menjayakan perkara ini bukan mudah. Setahun dua, pasti banyak kelemahan dan kekurangan. Malah, kita boleh menjangkakan, proses mengagihkan laptop kepada semua pelajar B40 yang memerlukan kelak akan mengambil masa.
"Malah, untuk menjayakan inisiatif ini, komitmen BN untuk memastikan semua sekolah menerima 100 peratus liputan 5G dalam masa 18 bulan mesti disempurnakan tanpa kompromi," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook rasminya pada Selasa.
Menurutnya, pada masa yang sama, pelajar-pelajar sekolah juga akan mula didedahkan dengan asas komunikasi menggunakan bahasa-bahasa yang ada di Malaysia.
"Anak-anak Malaysia, dalam masa 5 hingga 10 tahun akan datang akan boleh bertutur dan memahami secara asas Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil dan bahasa-bahasa etnik besar yang lain.
"Semua ini bukan sahaja akan menjadikan pelapis masa depan kita sebagai generasi ‘polyglot’, yakni mereka yang fasih bertutur banyak bahasa, malah mampu merapatkan hubungan antara kaum yang menjadi tiang seri masyarakat majmuk seperti Malaysia," ujarnya.
Sementara di peringkat universiti pula, jelasnya, semua anak-anak siswa dari keluarga B40 akan mendapat pendidikan percuma sekali gus menjadi generasi penamat kemiskinan yang bakal mengubah nasib dan takdir hidup melalui ilmu dengan segulung ijazah.
"Berbeza dengan pendirian PH khususnya MUDA yang mahu mahasiswa keluar dari universiti secepat mungkin (sehingga menentang pembelajaran subjek agama / kenegaraan kerana dianggap tidak penting dan membuang masa), BN sebaliknya akan mempromosikan pengambilan tahun senggang (gap year) oleh para pelajar universiti.
"Tahun senggang ini boleh digunakan untuk memenuhi minat dan keperluan peribadi serta dimanfaatkan untuk berbakti kepada masyarakat.
"Kita mahu pengalaman di menara gading menjadi sesuatu yang bermakna dan mendewasakan mereka. Universiti tidak lagi menjadi kilang melahirkan robot yang mahu disumbat ke alam pekerjaan tanpa kematangan pemikiran dan kekayaan pengalaman hidup," katanya.
Pada Isnin, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan PADU yang mengandungi 99 amal dan usaha sebagai tawaran baharu kepada rakyat untuk mengemudi negara ke arah kemajuan, jika berjaya menawan Putrajaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!