Mohd Zaidi tidak terkesan provokasi lawan

Mohd Zaidi (dua dari kanan) bertemu dengan peniaga di Pasar Malam Permatang Tok Elong pada Selasa.
Mohd Zaidi (dua dari kanan) bertemu dengan peniaga di Pasar Malam Permatang Tok Elong pada Selasa.
A
A
A

PERMATANG PAUH - Calon BN Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said tidak terkesan dengan provokasi yang dilakukan pihak lawan sehingga tercetusnya kekecohan di tapak Pasar Malam Penanti, di sini pada petang Isnin.

Menyifatkan tindakan mereka itu sebagai usaha untuk mengalih perhatian rakyat termasuk dengan mengadakan sidang media hanya untuk memburukkan calon pesaing, Mohd Zaidi berkata, ia langsung tidak mematahkan semangatnya untuk mendedahkan kegagalan Pakatan Harapan (PH) selama 23 tahun menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Tegas beliau, semua perkara yang akan didedahkan sepanjang tempoh berkempen adalah berfakta dalam memberi kesedaran kepada rakyat kenapa Permatang Pauh perlu berubah dari membiarkan kawasan ini terus diwakili oleh mereka yang tidak melakukan apa-apa sepanjang menjadi wakil rakyat.

"Saya telah diasak dengan provokasi-provokasi daripada penyokong PH yang jelas sekali mengambil kesempatan kepada saya malah calon mereka sendiri buat sidang media untuk provokasi saya.

"Kenapa pada waktu sidang media diadakan tadi beliau tak dedahkan kenapa ayah dan ibu malah dia sendiri ketika menjadi ahli Parlimen tidak melakukan apa-apa pembangunan di sini.

"Paling utama kenapa dalam tempoh 22 bulan mereka menjadi kerajaan dahulu dan memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak membentuk atau membawa pembangunan baharu di sini," katanya ketika ditemui selepas berkempen di Pasar Malam Permatang Tok Elong pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Zaidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh turut melahirkan rasa syukur dan teruja dengan sambutan masyarakat apabila beliau dan jentera BN turun ke kawasan dalam tempoh empat hari berkempen setakat ini.

Beliau berkata, kempen yang membawa slogan Permatang Pauh Berubah dilihat berjaya memberi kesan dan meresap kepada masyarakat di sini terutamanya apabila melihat sokongan yang begitu melonjak diterima BN.

Artikel Berkaitan:

"Saya disambut dengan begitu mesra oleh peniaga-peniaga pasar malam di sini dan ini adalah suatu yang jarang-jarang berlaku, luar biasa bagi saya orang UMNO dan BN di Permatang Pauh.

"Tetapi perubahan yang ditunjukkan oleh rakyat Permatang Pauh di sini, bermakna mereka telah sedar selama 23 tahun ini tiada apa-apa kemajuan yang dapat dilakukan selain hanya mendengar bekas-bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh bercakap soal antarabangsa dan soal dasar yang tiada kaitan dengan rakyat Permatang Pauh," ujarnya.

Tambah beliau, rakyat Permatang Pauh kini sudah sedar dan masanya telah tiba untuk perubahan dilakukan malah tidak mustahil legasi serta kubu kuat PKR ini di sini akan ditembusi pada 19 November nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!