'22 bulan rakyat perit hanya propaganda pembangkang'

Dr Hafidzah (kiri) bertemu pengundi ketika melakukan lawatan di Jalan Atas Paloh, Kota Bharu pada Selasa.
Dr Hafidzah (kiri) bertemu pengundi ketika melakukan lawatan di Jalan Atas Paloh, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Rakyat sebenarnya menikmati kesejahteraan sepanjang tempoh 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara.

Calon Parlimen Kota Bharu, Dr Hafidzah Mustakim berkata, propaganda pembangkang ketika itu menyebabkan ada masyarakat perit berada di bawah PH.

"Rakyat dimomokkan dengan pelbagai isu sedangkan mereka mendapat kebebasan bersuara sepanjang tempoh PH memerintah," katanya ketika bertemu pengundi di Jalan Atas Paloh Kota Bharu pada Selasa.

Timbalan Ketua Wanita PH Kelantan itu turut mengakui Kota Bharu merupakan kubu kuat Pas tetapi optimis diterima pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Keyakinan kami untuk menang berdasarkan penerimaan masyarakat selama tiga hari berkempen.

"Pengundi juga berfikiran terbuka kerana terdedah dengan pelbagai maklumat selain muak dengan situasi politik seolah-olah hak demokrasi rakyat dipermain-mainkan," katanya.

Pejuang kepada pembangunan dan pembelaan wanita itu menggunakan slogan bersih dan makmur untuk menarik pengundi.

Dr Hafidzah (kanan) bertanya khabar pengundi ketika melakukan lawatan di Jalan Atas Paloh, Kota Bharu pada Selasa.
Dr Hafidzah (kanan) bertanya khabar pengundi ketika melakukan lawatan di Jalan Atas Paloh, Kota Bharu pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu rakyat Kota Bharu bersih dalam konteks pentadbiran bebas rasuah," ujarnya.

Tambah Dr Hafidzah, menyantuni kira-kira 115,000 penduduk Kota Bharu merupakan satu cabaran.

"Bagaimanapun kita masih menggunakan teknik tradisi untuk bertemu pengundi dengan melawat dari rumah ke rumah selain menggunakan media sosial," jelas beliau.

Dr Hafidzah pernah bertanding pada pada PRU14 untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Mas.

Parlimen Kota Bharu menyaksikan persaingan enam penjuru dalam PRU15 pada 19 November ini melibatkan enam parti.

Lima calon lain ialah Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Ketua UMNO Kota Bharu, Datuk Rosmadi Ismail; Profesor Datuk Dr Che Musa Che Omar (Putra), Andy Tan (PRM) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!