'Kakistrocracy' palit imej jurutera

A
A
A

HUJUNG minggu lalu, seorang sahabat akrab lama dari Singapura bertandang ke Kuala Lumpur selepas bertahun lamanya tidak bersua.

Ketika menikmati kopi pahit yang dibawanya dari Muar, untuk juadah minum petang, beliau memperkenalkan satu istilah iaitu kakistrocracy.

Secara jujur, penulis belum pernah mendengar istilah ini. Sahabat lama itu juga kemudiannya bercerita tentang seorang jurutera di Singapura yang berjaya meraih pendapatan purata S$9,000 (RM27,349.56) dengan menggunakan kelayakan palsu.

‘Jurutera’ berusia 49 tahun tersebut memalsukan Sijil GCE A-Level, Sijil Politeknik Singapura, ijazah kelas pertama bidang kejuruteraan awam Universiti Nasional Singapura dan Sijil Keselamatan Penyelia Pembinaan Bangunan daripada Kementerian Tenaga Kerja.

Penipuan tersebut melibatkan 38 pekerjaan dalam bidang kejuruteraan antara 2013 dan 2017. Penulis terkejut dengan berita tersebut dan cuba membayangkan tahap kerosakan yang dilakukan terhadap projek diselia dan diluluskan oleh jurutera palsu berkenaan.

Pada masa sama, perasaan ingin tahu memaksa penulis mengkaji dengan lebih lanjut istilah kakistrocracy. Kamus Merriam Webster (1828) menyatakan kakistrocracy sebagai satu sistem kerajaan ditadbir urus oleh golongan paling tidak berkelayakan atau tidak bertanggungjawab yang mengaku mereka daripada golongan paling high class atau aristocracy (bangsawan).

Thomas L. Peacock, pengarang berbangsa Inggeris ialah orang pertama mengguna perkataan kakistrocracy pada 1829 bagi menyatakan kritikannya kepada kerajaan populis yang muncul daripada demokrasi berbeza di seluruh dunia melalui penulisan novelnya bertajuk The Misfortunes of Elphin.

Kemudian pada 1877, seorang penyair Amerika Syarikat, James R Lowell menggunakan istilah ini dalam suratnya kepada kepada Joel Benton yang berbunyi, “Apa yang saya ragu dan kecewa ialah kejatuhan moral. Adakah ini kesan daripada sistem demokrasi tidak terurus? Adakah kita melaksanakan ‘sistem pemerintahan rakyat oleh rakyat untuk rakyat’, atau kakistrocracy sebaliknya, untuk kepentingan pemimpin bodoh?"

Artikel Berkaitan:

Daripada perspektif Islam, pemimpin digelar khalifah, imam, qa’id, ra’i, rais dan sayyid bermaksud orang yang diamanahkan untuk menguruskan umat seperti khalifah, menteri, ketua tentera, kadi dan mereka yang bertanggungjawab dengan pengurusan negara.

Mereka diberikan tugas untuk mengurus dan memimpin oleh umat yang memberikan kepercayaan kepada mereka agar dapat membimbing serta memimpin masyarakat.

‘Al-Khalifah’ ialah nama jawatan yang disandarkan oleh khalifah. Khalifah juga membawa makna Al-Sultan Al-‘Azam iaitu pemimpin atau pemerintah tertinggi di sesebuah negara bertanggungjawab mentadbir kemaslahatan dunia dan menjaga kesucian agama. Al-Khilafah sebenarnya adalah pengganti Rasulullah SAW.

Urusan pentadbiran termasuklah bidang kejuruteraan menjadi sebahagian tonggak dalam pentadbiran Malaysia. Lihatlah pelbagai projek yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan di seluruh negara. Kepakaran seseorang jurutera amat diperlukan bagi memastikan projek berjalan lancar dan selamat digunakan untuk rakyat.

ALLAH SWT berpesan dalam Surah Al-Baqarah [2:124] bermaksud: “Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. ALLAH berfirman: Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia. Ibrahim berkata: (dan saya mohon juga) daripada keturunanku. ALLAH berfirman: Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim.”

Menerusi al-Quran juga ALLAH telah memberi petunjuk tentang kejuruteraan menerusi ayat berkaitan Nabi Daud yang terkenal dengan penggunaan besi. Ternyata, besi adalah elemen terpenting dalam bidang kejuruteraan kerana kekuatannya melebihi kayu atau bahan binaan yang lain.

Dalam Surah Shaad [38:26] ALLAH berfirman bermaksud: “Hai Daud, Sesungguhnya kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, Maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan ALLAH. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan ALLAH akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.’

Jelas sekali ada segelintir manusia yang sanggup melakukan apa sahaja demi jawatan, termasuk menipu menjadi seorang jurutera kelas pertama. Inilah realiti yang sedang berlaku dalam kalangan masyarakat termasuk umat Islam ketika ini.

Penulis mengkaji lagi tentang kakistrocracy. Jelas sekali kakistrocracy ini wujud dalam karakter seseorang manusia yang mengejar kuasa dan pangkat, lebih-lebih lagi untuk dilantik sebagai pemimpin.

Oleh kerana dibayangi kedudukan dunia itu, ramai yang dilihat seakan-akan tidak mengendahkan soal kepimpinan adalah tuntutan utama dalam ajaran Islam yang perlu diberikan perhatian.

Kepimpinan ialah isu besar dan serius kerana pemimpin yang baik membawa kemakmuran dan keamanan. Pemimpin zalim bakal memporak-perandakan negara.

Kepentingan kepimpinan ini terbukti apabila Rasulullah SAW mengesyorkan agar dilantik seorang pemimpin ketika bermusafir walaupun dalam kumpulan kecil.

Rasulullah turut menggambarkan semua individu Muslim dianggap pemimpin dan dipertanggungjawab terhadap mereka yang ada dalam kepimpinannya. Ini sebagaimana sabda Rasulullah yang diriwayatkan Bukhari bermaksud: “Ketahuilah setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan dipertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin.”

Jika kita renung di sekeliling kita sekarang, ramai pemimpin memiliki sifat kakistrocracy. Penulis berharap pemimpin kakistrocracy harus tunduk kepada pesanan ALLAH dalam Surah An-Nahl [16:100] memberi maksud:

“Sesungguhnya kekuasaannya (iblis) hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya jadi pemimpin dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan ALLAH.’

Penulis terhutang budi kepada sahabat lama dari Singapura yang memperkenalkan istilah kakistrocracy.

Kini, penulis lebih teruja untuk memberikan pendidikan yang cenderung kepada kemuliaan akhlak dan kepentingan kualiti berfikir agar jurutera jadi pemimpin yang bukannya bersifat kakistrocracy.

* Dr Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!