Gangguan ATC punca LRT Kelana Jaya, Ampang Park dihentikan
SHAH ALAM - Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya di Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park terpaksa diberhentikan kerana gangguan kepada komponen elektronik sistem kawalan tren automatik (ATC).
Bagaimanapun menurut kenyataan Rapid KL, setakat jam 8.30 malam, perkhidmatan tren perantara dari Stesen LRT Gombak ke Stesen LRT Damai serta dari Stesen LRT Ara Damansara ke Stesen LRT Putra Heights masih beroperasi.
Menurutnya, operasi tren dari Stesen LRT Putra Heights berpatah balik di Stesen LRT Ara Damansara manakala operasi tren dari Stesen LRT Gombak berpatah balik di Stesen LRT Damai akan ditamatkan pada jam 11 malam.
"Perkhidmatan itu terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan. Pasukan kejuruteraan dan teknikal dibantu Thales Group di Canada sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan tersebut.
"Setakat ini, apa yang diketahui adalah terdapat gangguan kepada komponen elektronik sistem kawalan tren automatik atau ATC yang menyebabkan kehilangan signal di antara pusat kawalan dan juga tren.
"Ini menyebabkan tren-tren tidak dapat beroperasi secara automatik di antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah kenyataan itu, perkhidmatan bas perantara percuma di antara stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park telah disediakan dan dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam bagi memudahkan pergerakan penumpang.
"Pengumuman mengenai gangguan perkhidmatan telah dilakukan di stesen dan di dalam tren bagi memaklumkan penumpang mengenai status perkhidmatan terkini.
"Makluman melalui media sosial Rapid KL juga telah dibuat bagi memudahkan penumpang merancang perjalanan mereka menggunakan perkhidmatan alternatif," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!