'Saya tak ada masalah nak isytihar harta' - Saarani
IPOH - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sedia untuk mengisytiharkan harta jika perkara tersebut menjadi keperluan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Berbanding pemimpin dan calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang telah mengisytiharkan harta, Saarani menjelaskan jumlah harta dimilikinya jauh lebih rendah daripada itu.
Katanya, bagaimanapun perkara tersebut bukanlah satu keperluan yang disyaratkan oleh SPR untuk dilaksanakan oleh kesemua calon bertanding.
"Saya tak bimbang kalau setakat nak saya isytiharkan (harta). Saya tak ada masalah, tapi ia bukan tuntutan SPR, bukan satu syarat utama. Ada orang tak nak mengisytiharkan takut melibatkan keselamatan keluarga, anak, cucu, ada orang macam itu.
"Tapi saya kalau disyaratkan, saya tak ada masalah sebab saya tahu, saya jauh lebih miskinlah dengan Nga Kor Ming (Pengerusi DAP Perak), Datuk Ngeh Koo Ham (Penasihat DAP Perak), Rafizi Ramli (Timbalan Presiden PKR). Kita suspense nak tengok Datuk Seri Anwar Ibrahim, isteri dan keluarga belum isytihar lagi ini jika dia nak isytihar," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Manifesto BN Perak di Bandar Meru Raya, di sini pada malam Selasa.
Pada 2 November lalu, Rafizi mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.
Pengisytiharan harta itu dibuat menerusi akuan berkanun (SD) yang dimuat naik melalui laman blog peribadinya.
PKR pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini menetapkan syarat setiap calonnya perlu melakukan pengisytiharan harta.
Langkah itu dilaksanakan untuk menghapuskan pandangan serong pengundi terutama dalam kalangan anak muda terhadap aset dimiliki pemimpin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!