Cangkerang, tembikar lebih 1,000 tahun ditemui di Gua Keris

Mokhtar pada sidang media mengenai penemuan cangkerang siput dan pecahan tembikar dipercayai berusia antara 1,000 hingga 5,000 tahun yang ditemui di Gua Keris, Dabong. - Foto Bernama
Mokhtar pada sidang media mengenai penemuan cangkerang siput dan pecahan tembikar dipercayai berusia antara 1,000 hingga 5,000 tahun yang ditemui di Gua Keris, Dabong. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA KRAI - Beberapa cangkerang siput sedut dan pecahan tembikar dipercayai berusia antara 1,000 hingga 5,000 tahun ditemui di Gua Keris, Dabong di sini pagi Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan, Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin berkata, bahan artifak itu ditemui oleh sepasukan pegawai Jawatankuasa Pelaksana Geopark ketika membuat penilaian Stong Geopark membabitkan tiga gua di Dabong iaitu Gua Keris, Gua Pagar dan Gua Ikan.

"Bila di gua, siput sedut memang menjadi bahan makanan dan juga barang pengebumian masyarakat prasejarah manakala pecahan tembikar yang ditemui pula adalah ciri-ciri pada zaman Neolitik yang dipercayai berusia antara 1,000 hingga 5,000 tahun.

"Kita jumpa semua bahan ini di permukaan tanah. Oleh itu, penyelidikan arkeologi yang lebih saintifik perlu dilakukan dan kita boleh jumpa artifak lain lagi pada zaman prasejarah yang masih belum diganggu," katanya pada sidang media di sini pada Selasa yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Daerah Dabong, Mohd Hariff Ghazali.

Mengulas lanjut, Mokhtar berkata, pihaknya akan menyerahkan beberapa sampel kepada Majlis Daerah Dabong untuk tindakan selanjutnya.

"Untuk kajian lebih lanjut, pihak majlis daerah boleh membuat permohonan kepada Jabatan Warisan Negara supaya melakukan kajian di lokasi berkenaan.

"Sekiranya pihak kami dibenarkan melakukan kajian, bahan ini akan dihantar ke makmal pentarikhan di luar negara seperti Amerika Syarikat dan Korea Selatan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!