Tiga cedera, bumbung asrama anak yatim runtuh

Mangsa yang cedera diselamatkan dan dibawa ke HPP untuk rawatan lanjut.
Mangsa yang cedera diselamatkan dan dibawa ke HPP untuk rawatan lanjut.
A
A
A
GEORGETOWN - Tiga penghuni Wisma Anak Yatim Perempuan (Islam) di Jalan Scotland di sini cedera apabila bumbung di asrama itu runtuh dalam kejadian pada jam 9.42 malam, Selasa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.45 malam berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, mangsa yang berusia 8, 10 dan 13 tahun itu cedera di beberapa bahagian badan dan dilaporkan stabil.

"Kejadian berlaku di bahagian asrama iaitu tempat tidur yang berkeluasan 50 kaki persegi (panjang) dan 40 kaki persegi lebar. Asrama ini menempatkan 30 penguni namun ketika kejadian, hanya tiga pelajar berada dalam asrama dan sedang berehat.

Bumbung Wisma Anak Yatim Perempuan (Islam) di Jalan Scotland runtuh dalam kejadian pada jam 9.42 malam Selasa.
Bumbung Wisma Anak Yatim Perempuan (Islam) di Jalan Scotland runtuh dalam kejadian pada jam 9.42 malam Selasa.

"Sementara yang lain, ada beberapa urusan antaranya sedang mengambil makanan dan mengikuti kelas tuisyen. Mangsa yang cedera telah diselamatkan oleh warden dan beberapa pelajar lain.

"Ketika pihak bomba sampai, mangsa dan semua penghuni sudah turun ke bawah. Mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dengan menggunakan ambulans," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Selasa.

Soffian berkata, mangsa yang cedera sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Daripada penerangan doktor, penghuni yang berusia 13 tahun mengadu sakit belakang, 10 tahun sakit di bahagian tengkuk manakala yang berusia 8 tahun cuma mengalami kecederaan ringan.

Artikel Berkaitan:

"Dua daripada mereka yang mengadu sakit belakang dan tengkuk akan menjalani pemeriksaan lanjut bagi mengetahui sama ada berlaku kecederaan dalaman atau sebaliknya," tambahnya.

Beliau berkata lagi, 27 penghuni yang terselamat akan ditempatkan di Wisma Anak Yatim Lelaki (Islam) di Jalan Air Itam, di sini.

"Mereka akan dibawa ke wisma anak yatim lelaki dengan menggunakan kenderaan bomba untuk sementara waktu bagi pihak berkuasa menjalankan siasatan.

"Terdapat sembilan penghuni akan menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok. Kita akan menutup tempat ini untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Setakat ini punca belum diketahui namun siasatan lanjut akan dijalankan," katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Pulau Pinang, Penguasa Kanan Bomba I Jamil Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.42 malam berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, seramai 33 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan Paya Terubong bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja menyelamat.

"Kita tiba di lokasi lapan minit selepas menerima panggilan kecemasan. Runtuhan bumbung berlaku di tingkat 1 bangunan Wisma Anak Yatim Perempuan (Islam).

"Ketika kita sampai, mangsa sudah dibawa keluar ke lokasi lebih selamat. Pemeriksaan di tingkat satu mendapati, memang benar bumbung di bahagian asrama telah runtuh. Kejadian tidak melibatkan kebakaran, oleh itu kita akan serahkan kes ini kepada pihak berkaitan," katanya.

Dalam pada itu, warden asrama, Noor Niah Abu Bakar berkata, ketika kejadian, dia sedang solat namun dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat di bahagian asrama.

Semua penghuni yang selamat dibawa menggunakan kenderaan bomba ke Wisma Anak Yatim Lelaki (Islam) di Jalan Air Itam.
Semua penghuni yang selamat dibawa menggunakan kenderaan bomba ke Wisma Anak Yatim Lelaki (Islam) di Jalan Air Itam.

"Saya terus berlari untuk mengetahui apa yang berlaku dan terkejut apabila mendapati bahagian siling runtuh.

"Saya tidak fikir panjang, terus meminta budak-budak selamatkan tiga rakan mereka yang terkena serpihan runtuhan dan kami turun ke bawah untuk menyelamatkan diri," katanya.

Sementara itu, salah seorang penghuni yang selamat, Siti Aisyah Abdul Razak,12 berkata, sebelum runtuhan, dia terdengar seperti bunyi ketukan di bahagian siling.

"Saya dengar macam orang ketuk-ketuk siling, tiba-tiba saja terus siling runtuh. Saya panik, nampak macam ada ruang, terus saya lari melalui ruang tersebut.

"Syukur saya selamat tetapi ini kejadian ini saya akan ingat sampai bila-bila kerana ia amat menakutkan," katanya.

Seorang lagi mangsa, Mastura Abdullah,13 berkata, dia terdengar seperti guruh sebelum kelihatan gelap di bahagian asrama.

"Masa kejadian, saya dan beberapa rakan lain baru naik ke atas dan letak barang atas katil. Masa tu tak jadi lagi. Selepas itu, saya dengar seperti guruh, ingatkan nak hujan.

"Selepas itu terus siling tu runtuh, saya dan rakan, Atiqah Farisha Abdullah, 10 terus menyorok di tepi rak. Masa tu mata kami masuk habuk, kami lap mata, tengok-tengok dah gelap dah.

"Kami dengar ada kawan jerit minta tolong. Kami tak boleh nak tolong sebab kami tak nampak sebab gelap," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!