Isteri Aliff Aziz bakal rakam single solo pertama
MELUPAKAN seketika kontroversi rumah tangga bersama suaminya, Aliff Aziz, penyanyi Bella Astillah terus melangkah positif dalam kehidupan.
Berkongsi perkembangan terbaharu, Bella atau nama lengkapnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 25, memberitahu dia sedang dalam perancangan untuk menghasilkan single solo pertama tidak lama lagi.
Menurutnya, hasrat tersebut sudah lama diidam tetapi hanya sekarang dapat direalisasikan apabila dia bertemu lagu yang sesuai selain sokongan peminat yang tidak pernah putus.
“Sebenarnya sudah terlalu lama saya tidak tampil dengan lagu baharu. Kali terakhir saya berbuat demikian ketika berkolaborasi bersama adik saya, Didi Astillah beberapa tahun dahulu dalam sebuah album.
“Saya mahu penghasilan single ini tidak dibuat dengan terburu-buru, sebaliknya tampil dengan lagu yang dapat memenuhi kehendak saya.
“Atas sebab itulah lagu ini mengambil masa sedikit untuk diterbitkan biarpun perancangannya telah lama dibuat,” katanya.
Menurut Bella, beberapa lagu telah dipilih termasuk ciptaan Mark Adam yang menceritakan tentang pengorbanan seorang wanita demi cinta.
Bella bagaimanapun menafikan lagu tersebut mempunyai kaitan dengan kemelut rumah tangganya. Katanya, ia hanya berlaku secara kebetulan kerana dihasilkan sebelum kontroversi bermula.
“Lagu itu menceritakan secara umum tentang kisah pengorbanan wanita terhadap cinta dan tidak ditujukan kepada sesiapa termasuk diri saya sendiri.
“Mark Adam sendiri memberitahu dia telah lama mencipta lagu ini. Hanya kebetulan lagu ini diberikan saya selepas apa yang terjadi. Tak ada pula saya minta dia buat lagu yang ada kaitan dengan hidup saya.
“Apa pun saya sentiasa positif dan penghasilan single solo ini adalah kerana minat saya yang mendalam terhadap bidang nyanyian sejak kecil lagi dan bukan kerana sebab-sebab lain,” jelas Bella.
Bella turut menjelaskan hasratnya untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian sebelum ini terpaksa ditangguhkan kerana mahu memberi tumpuan kepada cahaya matanya, Mohamad Ayden Adrean yang berusia setahun.
“Sebelum ini anak masih terlalu kecil, jadi saya tak sampai hati nak tinggalkan dia di rumah untuk keluar bekerja.
“Sekarang ini bila dia dah besar sikit, barulah saya boleh buat kerja sebab boleh bawa dia ke mana-mana.
“Insya-ALLAH saya harap semuanya dipermudahkan dan perancangan saya untuk kembali aktif menyanyi akan berjalan lancar,” ujar Bella.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!