Senarai semak untuk pengundi
SHAH ALAM - Menyedari kepentingan memilih calon terbaik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), satu senarai semak kriteria calon dicadangkan oleh Persatuan Usahasama Perkembangan Ukhuwah (Pupuk) untuk dijadikan sebagai panduan pengundi.
Pengerusi Pupuk, Asohan Satkunasingham berkata, menerusi kerjasama pasukan Rasuah Busters, Pupuk menyenaraikan enam kriteria perlu dipenuhi calon bagi memastikan mereka menjadi pilihan pengundi sekali gus diangkat sebagai pemimpin negara yang bersih.
Menurutnya, kriteria pertama yang tidak boleh dikompromi dan perlu dipenuhi calon ialah bebas rasuah dan tanpa ada kes jenayah.
“Perkara tersebut sangat penting untuk dipenuhi kerana ia adalah asas utama dalam usaha membentuk masa hadapan negara yang baik dan dipimpin oleh individu berintegriti tinggi menolak amalan rasuah serta bebas daripada sebarang kesalahan salah laku.
“Kriteria kedua perlu disemak dan dinilai oleh pengundi adalah mereka yang berpegang teguh kepada prinsip dan amalan Rukun Negara,” katanya kepada Rasuah Busters pada Selasa.
Mengulas lanjut, Asohan berkata, kriteria lain perlu dipenuhi calon adalah perlu adil, jujur, bertanggungjawab serta bijak.
“Kriteria keempat pula ialah calon mempunyai visi untuk kemajuan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat serta generasi akan datang.
“Senarai semak kelima yang perlu diberi perhatian adalah calon mempunyai rekod prestasi baik dalam menjalankan aktiviti khidmat masyarakat. Kriteria ini perlu bagi memastikan calon yang dipilih dekat dengan masyarakat dan tahu denyut nadi rakyat.
“Kita mahukan pemimpin yang kompeten dan berkebolehan untuk duduk bersama orang ramai. Kriteria ini merupakan ciri-ciri yang dimiliki oleh khalifah Islam terdahulu,” katanya.
Menurutnya, senarai semak yang terakhir ialah calon perlu mempunyai tahap kesihatan sesuai untuk melakukan tugas pentadbiran dengan berkesan.
“Sebaiknya pilih mereka yang sihat dan elak daripada memilih mereka yang mempunyai penyakit kerana kita tidak mahu pemilihan sekali lagi bagi menggantikan calon yang tidak berupaya mentadbir.
“Kriteria tahap kesihatan sesuai ini tidak merujuk kepada orang kurang upaya (OKU). Sebaliknya jika golongan OKU yang boleh mentadbir dengan baik, dia boleh dipilih oleh pengundi,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi Hasan berkata, inisiatif mewujudkan senarai semak memilih calon PRU15 adalah usaha berterusan pasukan Rasuah Busters bersama rakan gabungan untuk mengajak pengundi memilih pemimpin yang bersih dan berintegriti.
Katanya, menerusi kerjasama bersama Pupuk, satu solusi berhubung kemusykilan orang ramai memilih calon sesuai berjaya disenaraikan menerusi panduan senarai semak PRU15 yang membantu pengundi membuat pilihan tepat.
“Rasuah Busters dan rakan gabungan, Pupuk ingin membantu pengundi di luar sana membuat keputusan dan pemilihan calon yang tepat bagi diangkat sebagai pemimpin negara.
“Untuk itu, kerjasama ini mengeluarkan satu senarai semak untuk kegunaan orang ramai mengenali calon pilihan untuk diundi pada 19 November ini.
“Menerusi senarai semak ini, kita yakin rakyat Malaysia boleh membuat pilihan bijak demi masa depan negara yang lebih baik. Mari kita turun beramai-ramai untuk mengundi dan bebaskan negara daripada rasuah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!