[VIDEO] Gagal urus pandemik Covid-19, Anwar bohong: Muhyiddin
KANGAR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menepis tuduhan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan pimpinannya sebelum ini gagal mengawal pandemik Covid-19 walaupun mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) paling lama di dunia.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengiktiraf Malaysia antara negara terbaik dalam mengurus pandemik Covid-19.
“Anwar Ibrahim menuduh saya gagal untuk menguruskan Covid-19. Betul ke? Beritahu pada Anwar Ibrahim, tak betul... bohong. Kita berhadapan dengan satu situasi yang luar biasa.
“Bukan saja Malaysia, seluruh dunia termasuk negara maju, negara tidak maju, kecil dan besar. Anwar Ibrahim beritahu Muhyiddin tidak berjaya urus Covid-19. Ada 36,000 orang meninggal kerana serangan covid-19 yang dikatanya terburuk dalam dunia.
“Bukan terburuk tapi antara negara terbaik dalam menguruskan Covid-19. Amerika Syarikat antara negara termaju di dunia mempunyai kes kematian sebanyak 1,098,387 berbanding negara kita 36,495 kes,” katanya ketika berucap dalam ceramah Jelajah Pakatan Harapan (PN) Best di Taman Bukit Kubu, Kuala Perlis pada malam Selasa.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, negara seperti Brazil (688,444 kes), India (530,000 kes), Rusia (390,000 kes) United Kingdom (194,000 kes), Indonesia (158,000 kes) dan Jepun (47,000 kes) mencatat jumlah kematian yang lebih tinggi berbanding Malaysia di kedudukan ke-29.
“Beritahu pada Anwar Ibrahim boleh cakap tapi apa pun tak buat. Dia tak nak ucapkan terima kasih malahan langsung tidak bersyukur kerana dengan tindakan tegas yang kerajaan pimpinan saya telah ambil kita telah menyelamatkan jutaan nyawa.
“Kerajaan pada ketika itu telah membina pusat-pusat suntikan vaksin di seluruh negara, sehingga ke pedalaman Sabah dan Sarawak. Apa yang Anwar tahu.
“Anwar Ibrahim hanya pandai buat tuduhan tapi tidak bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang kita lakukan termasuk menyelamatkan nyawa dia, keluarga dia, anak dia, cucu dia dan seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya yang menyifatkan Anwar sebagai PM (Perdana Menteri) tepi selamanya.
Pengerusi Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu memberitahu, kerajaan pada masa itu juga telah berjaya menyelamatkan ekonomi negara walaupun terpaksa melaksanakan PKP bagi mengelak lebih ramai rakyat dijangkiti Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!