Calon Muda Kota Marudu ajak debat isu daerah termiskin
KOTA MARUDU - Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di Parlimen Kota Marudu, Sharizal Denci mengajak dua lagi calon kerusi berkenaan untuk berdebat serta membentangkan manifesto masing-masing bagi mengeluarkan Kota Marudu daripada senarai daerah termiskin di negara ini.
Sharizal berkata, jemputan itu ditujukan khas kepada penyandang kerusi Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan calon parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Wetrom Bahanda.
"Untuk mengangkat keluar Kota Marudu daripada daerah termiskin, kita perlukan seorang pemimpin yang berwibawa, segar, mempunyai misi dan visi.
"Saya mengundang Datuk Seri Maximus dan Datuk Wetrom untuk berdebat dan membentangkan manifesto, tawaran, cara dan bagaimana untuk mengangkat keluar Kota Marudu dari lembah kemiskinan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, perdebatan itu bertujuan supaya rakyat dapat menilai calon-calon yang bakal bertanding di Kota Marudu ini.
"Biarlah rakyat menilai sendiri dan jemputan sudah dihantar ke setiap Bilik Gerakan Calon. Gelanggang dibuka seluasnya, demi Kota Marudu yang maju dan sejahtera," katanya.
Sebelum itu, Sharizal akan berdepan dengan persaingan enam penjuru iaitu selain Maximus daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Wetrom, terdapat lagi tiga calon lain daripada Pejuang, Mohd Azmi Zulkiflee; Zainuddin Kuminding (Warisan) dan Norman Tulang (Bebas).
Kerusi Parlimen Kota Marudu berjaya dipertahankan Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) pada PRU14 dengan jumlah majoriti sebanyak 1,774 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!