Rayu khidmat Imam Masjid Ar Rahman disambung

Rombongan Masjid Ar Rahman Pekan Sik menyerahkan surat rayuan kepada wakil Mufti Kedah.
Rombongan Masjid Ar Rahman Pekan Sik menyerahkan surat rayuan kepada wakil Mufti Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Pengurusan Masjid Ar Rahman Pekan Sik berharap rayuan mereka agar khidmat imam masjidnya, Ahmad Hussain, 68 yang tamat kontrak pada 1 April lalu dapat disambung semula.

Pembantu masjid tersebut, Hulaimi Abdullah,62 berkata, majoriti ahli kariah masih mengharapkan pihak berwajib terutamanya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (JHEAIK) dapat mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat oleh jabatan itu.

Menurutnya, walaupun usia Ahmad sudah melebihi umur 60 tahun namun beliau masih sihat dan aktif menganjurkan pelbagai program untuk menarik ahli kariah mengimarahkan masjid tersebut dari semasa ke semasa.

"Alasan yang diberikan tidak disambung perkhidmatan disebabkan imam sudah berumur lebih 60 tahun tetapi kami lihat masih banyak lagi imam masjid-masjid lain yang lebih kurang sebaya dengan imam kami tapi masih lagi terus berkhidmat," katanya kepada Sinar Harian selepas menyerahkan surat bantahan dan rayuan kepada wakil kepada Pengarah JHEAIK, Datuk Abd Rahman Ismail di Pejabat JHEAIK, dekat sini.

Hulaimi Abdullah
Hulaimi Abdullah

Empat pihak yang turut menerima surat salinan tersebut yang diterima oleh wakil masing-masing adalah Pejabat Tuanku Sultan Kedah, Pejabat Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Pejabat Menteri Besar Kedah dan Pejabat Jabatan Mufti Kedah.

Hulaimi berkata, alasan tersebut tidak dapat diterima oleh pihaknya kerana Ahmad belum uzur malah masih lagi boleh memberikan sumbangam dan khidmat kepada masyarakat dari sudut bimbingan terutamanya agama Islam di Pekan Sik.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya keputusan tersebut kepada JHEAIK untuk mempertimbangkan rayuan yang dibuat oleh pihaknya.

"Kami hadir ke sini pun dari Sik ke Alor Setar adalah disebabkan oleh desakan ahli kariah yang mahu kami menyampaikan hasrat ini kepada pihak yang berwajib agar khidmat imam Ahmad ini disambung semula.

"Maknanya beliau ada sokongan yang kuat dari penduduk setempat kerana telah berkhidmat selama 22 tahun," katanya.

Sementara itu, seorang ahli kariah Masjid Ar Rahman Pekan Sik, Yusoff Md Noh, 51 berkata, sepanjang Ahmad bertugas sebagai imam di masjid tersebut, penduduk berpuas hati namun terkejut apabila khidmatnya tidak disambung lagi.

"Khidmatnya tiada cacat-celanya. Lagipun pengalamannya luas dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik," katanya.

Melalui surat JHEAIK bertarikh 19 Mac lalu, Ahmad telah dimaklumkan hal berkenaan selaras dengan Seksyen 65(2) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah Darul Aman) 2008 di mana tiada seorang pun pegawai masjid yang dilantik di bawah subseksyen 63(3) atau sifatnya yang dilantik di bawah 63(4) boleh terus memegang jawatan itu selepas mencapai umur 60 tahun.

Bagaimanapun perkara itu dibolehkan dengan syarat mendapat perkenan Sultan Kedah walaupun mencapai umur 60 tahun atau pun melanjutkan tempoh perkhidmatan yang ditetapkan oleh majlis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!