Tiga individu jual semula beg tangan curi berjenama diberkas

Antara beg tangan berjenama yang dipercayai dicuri tiga suspek. (Gambar kecil: Beh Eng Lai)
Antara beg tangan berjenama yang dipercayai dicuri tiga suspek. (Gambar kecil: Beh Eng Lai)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan mencuri beg tangan berjenama sebelum menjualnya semula kepada kedai barangan terpakai terbongkar apabila tiga individu termasuk dua wanita warga tempatan diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Salak Selatan di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, tangkapan dijalankan susulan satu laporan polis diterima pihaknya berkaitan kejadian curi dalam sebuah kedai di Solaris Dutamas di sini pada 1 November lalu.

"Dalam kejadian jam 10.07 malam itu, barangan yang didapati hilang adalah dua beg tangan jenama Chanel, sebuah beg tangan jenama Hermes dan sebuah beg jenama Louis Vuitton dengan jumlah kerugian sebanyak RM145,288.

"Risikan yang dijalankan kemudian membawa kepada penangkapan tiga suspek terdiri daripada seorang lelaki dan dua perempuan warga tempatan berumur lingkungan 28 hingga 30 tahun di sebuah rumah di Salak Selatan, Sabtu lalu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pelbagai barangan dipercayai hasil curi turut dirampas dalam serbuan terbabit antaranya beg tangan berjenama yang dilaporkan hilang, dua keping kertas resit, sepasang pakaian yang dipakai oleh suspek ketika kejadian serta wang tunai berjumlah RM22,300.

"Selain itu, serbuan turut dijalankan ke atas dua buah premis yang berasingan terletak di Bukit Bintang dipercayai telah membeli barangan curi yang dijual oleh suspek serta rampasan dijalankan melibatkan tiga beg tangan mewah yang dilaporkan hilang dan dua keping resit pembelian yang tertera nama suspek," jelasnya.

Menurutnya, modus operandi yang dikesan adalah menyasarkan kedai yang menjual beg tangan mewah berjenama.

"Kegiatan ini dipercayai didalangi seorang suspek lelaki warga tempatan berumur 30 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan mendapati suspek akan berurusan di kaunter dan meminta pekedai untuk mengambil barangan yang tidak dipamerkan dari dalam stor. Setelah ditinggalkan bersendirian, suspek akan membawa lari kesemua barangan yang diletakkan di kaunter," katanya.

Dalam pada itu, Eng Lai berkata, siasatan lanjut mendapati kesemua barangan curi seperti beg tangan akan dijual kepada kedai beg tangan mewah terpakai.

"Kesemua barangan curi ini akan dijual dengan harga yang lebih rendah dari harga pasaran di antara RM15,000 hingga RM50,000 bergantung kepada jenama.

"Suspek utama yang ditangkap ini mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah lampau," katanya.

Jelas beliau, kesemua suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!