Pengguna LRT merungut, bas perantara tidak efektif

Orang ramai bersesak-sesak untuk menaiki bas berikutan gangguan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya pada Rabu. Foto Twitter @lilhoneyju
Orang ramai bersesak-sesak untuk menaiki bas berikutan gangguan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya pada Rabu. Foto Twitter @lilhoneyju
A
A
A

SHAH ALAM - Ramai pengguna transit aliran ringan (LRT) merungut kerana terpaksa bersesak ketika menaiki bas perantara yang disediakan syarikat Rapid Rail Sdn Bhd susulan perkhidmatan itu tidak dapat beroperasi di 16 stesen bagi laluan Kelana Jaya bermula 9 hingga 15 November.

Menurut mereka dalam beberapa ciapan di Twitter, meskipun bas itu disediakan bagi menampung masalah perkhidmatan LRT tersebut, namun ia dilihat tidak begitu berkesan.

Seorang pengguna akaun Twitter bernama Faris_syrup mendakwa bahawa dalam masa setengah jam, hanya satu bas yang tiba bagi mengambil penumpang dan keadaan itu mengakibatkan kesukaran kepada orang ramai.

“Dalam setengah jam dekat Damai LRT, cuma satu sahaja bas perantara yang datang. Aku tak kisah kalau bos marah aku kerana bekerja dari rumah selama seminggu,” keluhnya dalam hantaran itu pada Sabtu.

Sementara itu, pengguna Twitter bernama Lilohneyju menyuarakan kerisauan berikutan orang ramai yang bersesak-sesak menaiki perkhidmatan alternatif berkenaan.

“Daripada pemerhatian saya, ramai orang terpaksa bersesak dan terjerit-jerit sebab hendak menaiki bas, ia sangat berbahaya, mohon disediakan ramai pengawal keselamatan untuk mengawal keadaan di sini,” ujarnya.

Pada masa sama, pengguna akaun Azim K Zaman memberitahu, masalah tersebut menyebabkan semangat orang ramai untuk bekerja khususnya bagi pengguna LRT menurun sepanjang minggu ini.

“Ya ALLAH, tak mampu nak husnuzon (bersangka baik) bila tengok keadaan begini. Bayangkan macam mana stresnya pagi mereka bila keadaan jadi begini,” luahnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!