Polis kesan penunggang motosikal lagak marsyal

Tangkap layar video tular yang memaparkan sekumpulan penunggang bertindak sebagai marsyal di lampu isyarat Taman Desa Dahlia, Senawang, Seremban pada Isnin. - Foto media sosial
Tangkap layar video tular yang memaparkan sekumpulan penunggang bertindak sebagai marsyal di lampu isyarat Taman Desa Dahlia, Senawang, Seremban pada Isnin. - Foto media sosial
A
A
A

SEREMBAN - Polis sedang mengesan lima penunggang motosikal yang bertindak sebagai 'marsyal' dengan menahan kenderaan lain bagi memberi laluan kepada lapan kenderaan sebuah parti di lampu isyarat Taman Desa Dahlia, Senawang di sini pada Isnin.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Yusoff berkata, pada jam lebih kurang 6.47 petang, tular satu video berdurasi 33 saat memaparkan sekumpulan penunggang motosikal seramai lima orang dengan membawa bendera parti politik telah menahan kenderaan di simpang empat lampu.

" Ia bagi memberikan laluan kepada lapan buah kenderaan dipercayai daripada parti politik yang sama. Kejadian tersebut telah mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

"Justeru pihak polis sedang mengesan kesemua pemandu dan penunggang terlibat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, tindakan mereka sebagai marsyal dengan menahan dan mengawal kenderaan melalui lampu isyarat tersebut merupakan satu kesalahan kerana ia menyalahi Seksyen 21(1) Akta Polis 1967.

"Tindakan undang-undang boleh diambil bawah Seksyen 94 Akta Polis 1967 jika seseorang yang melakukan suatu kesalahan bawah akta ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

"Mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas, hukuman jika seseorang yang melakukan kesalahan apabila disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak lebih daripada RM2,000," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menasihati kepada semua parti politik supaya tidak melanggar undang-undang jalan raya semasa dalam tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 dan hendaklah sentiasa mematuhi serta menghormati undang-undang sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!