Warga emas menangis dinasihatkan agar insaf

Ibrahim (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu bagi menghadapi empat pertuduhan pilihan, menggunakan dokumen urusan tanah palsu mengandungi cap jari individu yang meninggal dunia pada 2015 dan 2016 lalu.
Ibrahim (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu bagi menghadapi empat pertuduhan pilihan, menggunakan dokumen urusan tanah palsu mengandungi cap jari individu yang meninggal dunia pada 2015 dan 2016 lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang warga emas menangis selepas Hakim Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, menasihati supaya insaf kerana menggunakan dokumen urusan tanah palsu mengandungi cap jari individu yang meninggal dunia pada 2015 dan 2016 lalu.

Hakim Rozilah Salleh membuat peringatan itu selepas bekas penulis surat dan urusan tanah, Ibrahim Mahidin, 61, menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding sebutan semula kes atas empat pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya.

"Kamu bukan muda lagi, saya harap kamu insaf dan tidak melakukan kesalahan sama.

"Paling menyedihkan, apabila kamu sendiri tahu pemilik tanah itu sudah meninggal dunia, tapi kamu bertindak sehingga menyebabkan tanah itu dipindah milik kepada orang lain," katanya.

Rozilah kemudiannya memerintahkan tertuduh dipenjara setahun bagi setiap kesalahan namun mahkamah membenarkan kesemua hukuman berjalan serentak bermula Rabu.

Mengikut kesemua pertuduhan, Ibrahim didakwa secara tidak jujur menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu dokumen 'Power Of Attorney', dokumen Surat Akuan, dokumen Perjanjian Jual Beli dan Maklumat Pindah Milik dan Gadaian antara Che' Nah Arshad (yang telah meninggal dunia pada 2007) dan Mhd Kaim Tukimon, 70, bertarikh 26 dan 27 November 2015.

Sedangkan tertuduh ketahui bahawa dokumen tersebut adalah palsu semasa diserahkan kepada Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor pada 2 Disember 2015 dan 24 November 2016.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 467 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding, peguam, Idris Zaidel yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa depan.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Mohd Aliff Shahruzaman mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!