PRU15: Banteras pemimpin rasuah
MELAKA - Masalah yang dihadapi rakyat tidak akan dapat diselesaikan secara tuntas sekiranya rasuah tidak dibanteras di peringkat pemimpin tertinggi.
Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Wahid berkata, kerana itu berlakunya situasi ada rakyat yang terjejas banjir tidak dibantu namun yang tidak mengalaminya pula mendapat bantuan ataupun sumbangan.
Menurutnya, begitu juga wujud projek pembangunan terbantut dan projek gajah putih kerana berlakunya ketidaktelusan dalam menguruskan sesuatu projek.
"Perkara ini kita tak payah fikir terlalu panjang, kita perlu cari punca kepada perkara (rasuah) tersebut.
"Kebiasaannya rasuah berlaku kepada mereka yang pegang kuasa, jadi kita tindakannya, kita perlu 'cabut' dia dari pegang jawatan mahupun kuasa itu," katanya ketika ditemui bersama masyarakat di Taman Sin Hoe Garden Bukit Baru pada Rabu.
Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, kerajaan PH sebelum ini tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan memecat seseorang individu sekiranya dia tidak terlibat dalam ketirisan atau budaya tidak sihat itu.
"Selalu orang akan ugut lah, kalau wakil rakyat tukar, maka kerajaan hanya nak pecat orang sahaja. Tak akan kita nak biarkan ketirisan dan rasuah, tak bolehlah, minta maaf.
"Kalau tidak mahu ini berlaku, jadi jangan makan rasuah, jangan bagi rasuah, jangan terlibat seleweng, jangan salah guna kuasa," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!