AS, EU kenakan sekatan baharu terhadap Junta Myanmar

AS dan EU berulang kali mengenakan tindakan punitif terhadap Myanmar sejak 1 Februari 2021. - Foto AFP
AS dan EU berulang kali mengenakan tindakan punitif terhadap Myanmar sejak 1 Februari 2021. - Foto AFP
A
A
A
WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) pada Selasa mengenakan sekatan terhadap junta Myanmar, selepas dua tahun kerajaan yang dipilih rakyat digulingkan di negara itu.

Kedua-dua sekutu itu berulang kali mengenakan tindakan punitif terhadap Myanmar sejak 1 Februari 2021, apabila tentera bertindak menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi atas tuduhan penipuan undian secara meluas ketika pilihan raya 8 November 2020, di mana Liga Kebangsaan Suu Kyi untuk Demokrasi mendapat sokongan orang ramai.

"Dua tahun lalu, Liga Kebangsaan untuk Demokrasi memenangi pilihan raya umum Myanmar dengan majoriti besar, tetapi telah digulingkan oleh junta.

"Hari ini, EU telah menerima pakai pakej sekatan kelima sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan yang dilakukan junta terhadap rakyatnya sendiri," wakil tinggi Kesatuan Eropah untuk Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan Josep Borrell berkata menerusi ciapannya pada Selasa, menurut United Press International (UPI).

Perbendaharaan AS dan Jabatan Negara turut menyenaraihitam Sky Aviator Co. kerana melaksanakan kerja menaik taraf sistem dan penyelenggaraan bagi pesawat junta, manakala pengasas syarikat itu Kyaw Min Oo, seorang ahli perniagaan Myanmar berusia 40 tahun dituduh membantu perjanjian pembekalan senjata untuk tentera.

Menerusi langkah yang diselaraskan, Eropah pada Selasa turut mengenakan sekatan terhadap 19 individu, termasuk menteri, ketua hakim Mahkamah Tinggi, anggota angkatan tentera yang dikenali sebagai Tatmadaw dan tentera udara serta wakil perniagaan yang tidak dinamakan.

Majlis Pentadbiran Negeri turut disenarai hitam, lapor UPI.

Sejak rampasan kuasa itu, EU telah membekukan aset dan mengeluarkan larangan perjalanan ke atas 84 individu dan 11 entiti menerusi lima pakej sekatannya.



Pihak bersekutu terus mengetatkan sekatan diplomatik mereka terhadap Myanmar sejak rampasan kuasa oleh junta yang turut berdepan protes rakyat.

Menurut pertubuhan hak asasi manusia yang berpangkalan di Thailand, Assistance Association for Political Prisoners, lebih 2,400 orang telah terbunuh manakala kira-kira 16,110 ditangkap sejak tentera mengambil alih negara itu.
Artikel Berkaitan:


Pada 23 Oktober, rejim itu dilaporkan melakukan serangan udara ke atas festival muzik di pergunungan Kachin hingga mengorbankan 100 orang, termasuk artis dan pemuzik. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!