Istana Kelantan tarik tauliah Abdul Azeez
KOTA BHARU - Istana Kelantan menarik balik anugerah tauliah pelantikan kurniaan dari negeri ini yang diberikan kepada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Berdasarkan surat berkenaan, penarikan Tauliah Pelantikan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) itu berkuatkuasa 2 April 2019.
Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad ketika dihubungi berkata, bekas Pengerusi Tabung Haji itu sudah dimaklumkan penarikan semula tauliah berkenaan pada hari sama.
Mengikut surat bertarikh 2 April itu, beliau tidak boleh lagi menggunakan gelaran Datuk dan apa-apa kuasa atau perkara yang berkaitan dengan anugerah darjah kebesaran tersebut.
“Beliau juga dikehendaki mengembalikan ketandaan darjah kebesaran yang berkaitan kepada Yang Berhormat Datuk Perwira Raja, Pengelola Istana D’Raja, Pejabat Sultan Kelantan, Istana Balai Besar Kota Bharu dengan serta merta,” kata surat tersebut.
Bagaimanapun surat yang ditandatangani Nazran tersebut tidak dinyatakan sebab tauliah berkenaan ditarik semula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!