Orang Asli mahu wakil rakyat yang cakna
TAPAH - Memasuki perkampungan Orang Asli di Kampung Sungai Cincin, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Tapah, kelihatan rumah-rumah lot teres yang teratur dan jalan bertar berserta lampu jalan di sepanjang perjalanan ke perkampungan yang dikelilingi hutan itu.
Berkongsi pengalaman selama 10 tahun sebagai Tok Batin, Panjang Aris Wok berkata, perkampungan masyarakat Orang Asli itu kini telah mempunyai kemudahan asas seperti bekalan elektrik, bekalan air, jalan raya dan kesalinghubungan internet.
Masyarakat Orang Asli di kawasan itu juga amat berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk penduduk dan kemudahan jalan raya untuk ke perkampungan itu.
"Itu hasilnya (bila) wakil rakyat turun dan jumpa orang ramai untuk dengar keperluan dan aduan. Kita perlukan orang (wakil rakyat) yang buat kerja (dengan komited)," katanya kepada Bernama pada Rabu.
Menurut Panjang Aris, sebanyak 42 PPR di kampung dengan populasi kira-kira 400 orang itu dibina sekitar tahun 2000, dan terdapat keperluan untuk menambah jumlah rumah berikutan pertambahan penduduk selain membaik pulih rumah sedia ada.
Panjang Aris berkata, masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Cincin itu mahukan wakil rakyat yang cakna dengan isu tempatan berkait masyarakat itu dan sedia 'turun padang' bagi membantu serta terus memperjuangkan nasib mereka.
Menceritakan situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan, beliau berkata wakil rakyat berperanan besar dalam memastikan bantuan kerajaan seperti bakul makanan sampai kepada orang ramai.
Kampung Sungai Cincin terletak di kawasan Parlimen Tapah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang.
Penyandang kerusi Parlimen Tapah Datuk Seri M Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, beliau yakin mendapat sokongan masyarakat Orang Asli di kawasan itu berdasarkan rekod prestasinya berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu sejak 2008.
"Kita wakil rakyat perlu jadi wakil rakyat kepada semua, tidak kira Melayu, Cina, India dan Orang Asli, semua kita jaga, tolong. Sebarang masalah beritahu Tok Batin selepas itu, Tok Batin boleh beritahu kita (wakil rakyat) untuk selesaikan sebaiknya, itu tugas kita," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Saravanan berhadapan pertandingan enam penjuru di kerusi itu. Ia turut melibatkan K Saraswathy (PH-PKR), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad (PN-Bersatu), Mohamed Akbar Sherrif Ali Yasin (Warisan), M Kathiravan (Bebas) dan Mior Nor Haidir Suhaimi (Pejuang).
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga bekas Menteri Besar Perak adalah penyadang kerusi DUN Chenderiang. Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo PKR, memenangi pertembungan tiga penjuru dengan majoriti 39 undi.
Pada PRU15, kerusi DUN itu menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara Mhod Yunus Mhd Yusop (Bersatu-PN), Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali (Warisan), Mohd Amin Man (Pejuang), Atyrah Hanim Razali (PKR-PH), Choong Shin Heng (MCA-BN), Atan Katering (Bebas) dan Teratai Bah Arom (Bebas).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!