PRU15: Parlimen Jeli tetap kubu kuat BN
JELI - Parlimen Jeli tetap menjadi kubu kuat BN meskipun penyandangnya, Datuk Seri Mustapa Mohamed atau Tok Pa membuat keputusan mengejut menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Calon BN, Norwahida Patuan berkata, keputusan Tok Pa 'berhijrah' itu tidak menggugat kedudukan parti tersebut sebaliknya yakin kemenangan akan terus berpihak kepada dacing.
"Hanya Tok Pa sahaja yang keluar dari BN, namun penyokong dan jentera parti tidak. Mereka sebaliknya masih kekal dengan BN.
"Melihat kepada situasi itu dan 'track record' sebelum ini, saya yakin rakyat akan tetap memilih BN pada 19 November ini," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Menurut beliau, keputusan Tok Pa tidak bertanding memberikan peluang cerah kepada BN untuk menang selain menambah majoriti pada PRU15.
Katanya, walaupun begitu jentera BN tetap bekerja keras bagi memastikan kemenangan multak menjadi milik mereka nanti.
Norwahida berkata, kemenangan Tok Pa pada PRU sebelum ini juga hasil kerja keras seluruh jentera BN di Jeli.
Ujarnya, pembangunan yang dibawa oleh Tok Pa ke kawasan ini adalah semasa bersama dengan kerajaan BN.
Dalam perkembangan lain, Wahida berkata, beliau lega apabila seluruh kepimpinan parti di Jeli memberikan sokongan padu selepas namanya diangkat sebagai calon.
"Restu itu menjadi pemangkin semangat kepada saya untuk terus bekerja keras dalam usaha mempertahankan kerusi tersebut," katanya.
Pada PRU15 Norwahida bakal berdepan tentangan tiga lagi calon iaitu Zahari Kechik (PN), Dr Muhammad Daud(GTA), dan Md Radzi Wahab(PH).
PRU14 lalu, Tok Pa yang bertanding atas tiket BN menang dengan majoriti 6,647 menewaskan calon Pas dan PKR.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!