Gangguan tren dijangka selesai kurang tujuh hari
SHAH ALAM - Gangguan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh kurang tujuh hari.
Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, tempoh tersebut adalah jangkaan tempoh maksimum ditetapkan oleh bahagian teknikal.
"Kita tidak mahu (gantung perkhidmatan) tiga hari tapi masalah tak selesai dalam tempoh itu.
Kami cuba yang terbaik untuk selesaikan masalah ini sepenuhnya dalam tempoh tujuh hari.
“Ini adalah masalah serius yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pihak jurutera kami sudah mencari solusi dan setiap kali ia dijalankan hanya bertahan selama sehari atau dua hari. Maknanya punca masalahnya belum dapat dikenal pasti," katanya pada sidang akhbar masalah gangguan LRT Laluan Kelana Jaya pada Rabu.
Pada sidang akhbar itu, beliau memberitahu terdapat beberapa komponen Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) dan tren yang hampir mencapai tempoh jangka hayat.
Bagaimanapun, beliau menafikan isu peruntukan menjadi punca tindakan awal tidak dilakukan dengan menukar alat ganti tersebut.
"Tiada ada masalah peruntukan, kami sudah ada jangkaan untuk menukarnya kerana sudah sampai tempoh hayat.
"Kami telah mendapat kelulusan daripada lembaga pengarah bagi tujuan tersebut. Kami telah mendapat peruntukan dan kelulusan, cuma kejadian adalah di luar jangkaan," jelasnya.
Mengulas lanjut katanya, Rapid KL mengambil inisiatif menyediakan bas perantara percuma sepanjang tempoh gangguan perkhidmatan tersebut menampung penumpang dan mengurangkan kesesakan di stesen yang terjejas.
Ujarnya, sebanyak 73 bas disediakan membabitkan lima stesen LRT iaitu Ara Damansara ke Pasar Seni; Ara Damansara ke Kelana Jaya; Kelana Jaya ke Pasar Seni; Pasar Seni ke Masjid Jamek dan Masjid Jamek ke Dato Keramat.
Pada masa sama, pihaknya akan melihat pemberian pampasan kepada kira-kira 200,000 penumpang perkhidmatan itu yang terjejas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!