Anwar tuntut Razman mohon maaf
KUALA LUMPUR - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria membuat permohonan maaf dalam masa tujuh hari berhubung dakwaannya bahawa Presiden PKR itu akan mempromosikan agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), membenarkan perkahwinan sejenis serta menyokong isu komunis.
Sekiranya gagal, Anwar akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Razman yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunong Semanggol.
Menerusi surat tuntutan (LOD) yang dihantar kepada Razman pada Selasa, menyatakan pemimpin Pas itu perlu membuat permohonan maaf menerusi media pilihan Anwar dan berjanji tidak akan mengulangi dakwaan itu dalam apa jua bentuk.
"Tuduhan yang dibuat adalah palsu, tidak masuk akal, berniat jahat dan telah memburukkan imejnya ketika perang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bermula," kata surat yang dihantar peguamnya, Datuk SN Nair.
Surat itu turut mendakwa, kenyataan Razman telah menarik lebih 43,500 tontonan, 1,000 komen, 3,100 reaksi dan 256 perkongsian pada masa surat tuntutan itu dihantar.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan, polis Perak menjalankan siasatan berhubung ucapan Razman yang tular sejak 6 November lalu.
Sehari sebelum itu, Razman dilaporkan tidak kisah dengan sebarang laporan polis atau siasatan dibuat terhadapnya susulan ucapan yang didakwa berunsur fitnah semasa kempen PRU15 pada Ahad.
Susulan itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Zaim Sidqi Zulkifly mahu membuat laporan polis berhubung kenyataan Razman menerusi rakaman video memfitnah Presiden PKR.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!