Akhirnya dapat masuk sekolah
PETALING JAYA - "Dah lima tahun saya tunggu, akhirnya dapat juga anak kami belajar di sekolah," begitulah luahan ibu kepada Marlis Maisara,11, yang sebelum ini tidak dapat meneruskan pembelajaran di sekolah berikutan ketiadaan sijil kelahiran yang sah.
Menurut Umi Kalsom Daud, 47, sejak anak angkatnya itu lahir, dia dan suaminya, Alauddin Mohamad, 53, telah diamanahkan oleh ibu kandung Marlis untuk menjaganya.
"Sejak lahir pada 2008, ibunya memang sudah bersetuju untuk menyerahkan Marlis kepada saya sebagai anak angkat berikutan keluarganya mempunyai kekangan pada waktu itu.
"Malah, laporan polis juga turut dibuat oleh ibunya bagi memaklumkan mengenai penyerahan Marlis sebagai anak angkat saya namun sijil kelahirannya tidak sempat didaftarkan kerana ibunya ingin bergegas pulang ke Sarawak," katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.
Bagaimanapun, Umi berkata permasalahan mula timbul sewaktu dia ingin mendaftarkan anaknya itu ke sekolah berikutan ketiadaan dokumen kelahiran yang lengkap sehingga menyebabkan Marlis perlu belajar sendiri di rumah.
Umi berkata, walaupun Marlis tidak bersekolah, namun anaknya itu dianggap boleh dianggap bijak berikutan sudah mampu membaca seawal usia lima tahun lagi.
"Sekitar tahun 2010, saya disahkan mengidap penyakit buah pinggang yang turut memberi kesan kepada mata saya sehingga tidak dapat melihat.
"Bagaimanapun, saya tetap bantu mengajar Marlis untuk membaca di rumah dan Alhamdulillah, dia dapat mengeja serta membaca seawal usia lima tahun lagi,"katanya.
Selain itu, Umi berkata Marlis sebelum ini pernah beberapa kali merajuk berikutan tidak dapat mengikuti pengajian di sekolah bersama rakan-rakannya yang lain.
"Pada waktu itu, saya sentiasa nasihat dia untuk bersabar kerana kami memang sudah berusaha untuk mengesan ibu bapa kandungnya namun tidak berjaya.
"Selepas Marlis dilahirkan, saya cuba hubungi ibunya yang pulang ke Sarawak namun nombor telefon itu sudah tidak berfungsi. Malah kami juga gagal mengesan alamatnya di sana," katanya.
Dalam pada itu, Marlis berkata dia merasa amat gembira apabila mendapat peluang untuk menyambung pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2 yang turut terletak berhampiran rumahnya.
Menurut Marlis, impiannya untuk belajar di sekolah akhirnya tercapai selepas beberapa tahun menunggu.
"Sejak semalam saya tak boleh tidur kerana tak sabar untuk ke sekolah. Namun saya sedih sikit sebab kena tinggal ibu seorang di rumah selepas ini.
"Sebelum ini saya selalu bantu ibu masak sebab ibu tak dapat melihat namun lepas ini ibu kena buat sendiri," katanya.
Dalam pada itu, Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM), Datuk Normaziah Sheikh Mohamed berkata, pihaknya bertungkus-lumus menyelesaikan semua prosedur bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membantu Marlis menyambung pembelajaran di sekolah.
Beliau berkata, pihaknya tergerak hati untuk membantu Marlis selepas nasib anak malang itu dimaklumkan oleh pegawainya pada awal tahun ini.
"Alhamdulilah, selepas penat lelah menyelesaikan proses dokumentasi ini, akhirnya Marlis kini dapat belajar di sekolah.
"Selain itu, pihak kami juga sedang mengusahakan bantuan JKM kepada ibu Marlis berikutan dia kini perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali dalam tempoh seminggu," katanya.
Tambah Normaziah, beliau yakin masih ramai anak-anak di luar sana yang berdepan nasib sama seperti Marlis dan pihak terlibat diminta tampil untuk ke hadapan bagi menyelesaikan permasalahan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!