PRU15: Lebih 100 bahan kempen calon GRS Kota Kinabalu dirosakkan

Poster calon GRS yang diconteng di sekitar Kota Kinabalu.
Poster calon GRS yang diconteng di sekitar Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Lebih daripada 100 bendera, poster dan banting calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Kota Kinabalu, Yee Tsai Yiew telah dirosakkan dipercayai akibat perbuatan khianat.

Kebanyakan daripada bahan kempen dikoyakkan selain batang bendera dipatahkan dan poster diconteng.

Tsai Yiew yang sedih dengan keadaan itu meluahkan rasa kecewa dan mengatakan bahawa tindakan itu adalah perbuatan khianat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya sangat kecewa dengan tindakan orang yang tidak bertanggungjawab ini. Namun begitu, saya anggap ia satu cabaran ketika berkempen.

"Ini tidak sedikit pun mematahkan semangat saya dan jentera parti untuk meneruskan kempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau dalam pada itu menyeru semua pihak supaya lebih matang dalam berpolitik selain berharap pihak berwajib mengambil tindakan berhubung perkara itu.

"Kita kena matang dalam berpolitik dan biarlah pihak yang berwajib mengambil tindakan susulan," katanya.

Tsai Yiew turut memaklumkan bahawa laporan telah dibuat kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan tindakan lanjut akan diambil.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU kali ini, Tsai Yiew berdepan dengan saingan lima penjuru iaitu dengan calon daripada Parti Warisan (Warisan) Yeo Yan Yin@Amanda Yeo, Winston Liaw Kit Siong (KDM), Chan Foong Hin (PH) dan Marcel Jude (Bebas).



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!