PRU15: Parti tentukan keputusan kerjasama politik - Ismail Sabri

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) meluangkan masa bergambar bersama para peniaga dan penduduk setempat semasa mengadakan Tinjauan Mesra di Pekan Durian Tunggal. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) meluangkan masa bergambar bersama para peniaga dan penduduk setempat semasa mengadakan Tinjauan Mesra di Pekan Durian Tunggal. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan sebarang kerjasama BN dengan mana-mana parti hanya boleh ditentukan oleh parti bukan individu.

Beliau berkata, keputusan besar untuk bergabung dengan parti lain seperti itu hanya akan diputuskan oleh parti sahaja.

"Kita tak boleh individu buat keputusan nak PKR (Parti Keadilan Rakyat) ke, Perikatan Nasional (PN) ke nak ke PH (Pakatan Harapan) ke, nak itu nak ini ke. Ini parti yang buat keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan Jelajah Mesra di Pekan Durian Tunggal di sini, pada petang Rabu.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan calon BN Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan.

Ismail Sabri berkata, sekiranya tiada parti yang mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, sudah tentu perlunya ada kerajaan campuran.

"Jika tidak, akan jadi Parlimen tergantung. Kita pun tak tahu ada lagi ke tidak parti mempunyai majoriti mudah," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai nasib bekas Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim sama ada akan dipujuk kembali ke UMNO atau sebaliknya, Ismail Sabri yang juga penyandang Parlimen Bera berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, apa yang lebih penting pada waktu ini bagi memastikan BN menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Kita tunggulah lepas pilihan raya, terlalu awal kita nak buat spekulasi," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!