PRU15: Khairy berada dalam parti yang salah untuk jadi PM
PAGOH - Khairy Jamaluddin Abu Bakar berada di dalam parti yang salah untuk menjadi Perdana Menteri.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun tidak salah sekiranya Menteri Kesihatan itu ingin bercita-cita menjadi Perdana Menteri.
Beliau mengakui bekas Ahli Parlimen Rembau itu merupakan tokoh yang bagus untuk menjadi Perdana Menteri pada masa hadapan.
"Saya fikir mungkin bukan satu 'omong' kosong. Dia seorang tokoh yang bagus.
"Dia dalam kabinet saya, dia antara yang saya percayai dan mampu menguruskan soal Covid-19 dan sebagainya dengan baik," katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pada program Sembang Santai bersama Masyarakat Kampung Panjang Sari, Kampung Sri Menanti dan Kampung Sri Makmur, Pagoh.
Semalam, Khairy dalam ucapannya semasa kempen di Sungai Buloh berkata, ini masa yang tepat untuk mengisytiharkan hasratnya menjadi pemimpin kerajaan.
Muhyiddin berkata, Khairy mempunyai masa depan yang baik dan mana-mana pemimpin termasuk dirinya tidak salah untuk bercita-cita menjadi Perdana Menteri.
"Bila masanya untuk jadi Perdana Menteri, mungkin Khairy perlu ambil alih UMNO dan jadi Presiden UMNO dan kena dapat kerusi banyak bentuk kerajaan.
"Waktu sekarang boleh cakap jelah," katanya.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata beliau sudah mengisytiharkan harta sebelum ini.
Beliau berkata, mengenai isytihar harta tidak perlu gesaan kerana itu merupakan tanggungjawab.
"Tanggungjawab baik menteri dalam kerajaan yang pegang jawatan.
"Tak perlu gesa sudah memang begitu. Saya dulu dalam kerajaan pun saya isytihar dan masuk lama website. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah semak," katanya.
Tambahnya, jika pekerja swasta tidak perlu gesa isytihar harta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!